Saturday, November 19, 2011

[CERPEN] : Hai Awak!

           Syirah berlari laju ke kafe. Dia sudah terlewat untuk jadual hariannya di kafe. Hatinya menyumpah seranah pintu tandas yang rosak. Hampir setengah jam dia terperangkap di dalam tandas. Nasib baik tandas wangi. Kalau haruman semerbak yang meloyakan sudah lama dia pengsan di dalam tandas. Terjerit terlolong di dalam tandas sehingga nafasnya semput.
Larian Syirah terhenti. Dia mengurut dadanya yang sudah semput. Jam ditangan dikerling seketika. Sempat lagi! Getusnya dalam hati.
Setiba di kafe. Keadaan agak lengang seketika. Maklumlah pukul 3 dan 4 selalunya ada kuliah. Nasib baik jadual Syirah untuk semester terakhir ini tidaklah padat sangat berbanding semester 1,2 dan 3. Dia mengambil tempat biasa yang seolah-olah sudah tersedia buatnya.
“Kak Yanti air macam biasa. Milo tabur!” ujar Syirah. Nama sahaja nampak ayu tapi perangai sentiasa kelam kabut. Yanti mengangguk. Faham benar dengan Syirah yang suka skodeng budak lelaki dari kerusi itu.
“Kak Yanti. Zikry dah lalu tadi?” soal Syirah. Tangannya mengibas mukanya yang kemerahan sebab panas. Habis peluh keluar.
“Kalau tak silap akak. Buah hati kau belum lagi lalu.” Jawab Yanti. Dia tahu Zikry salah seorang budak yang terkenal di kampus. Hampir setiap hari ada sahaja budak yang beri hadiah buat pemuda tinggi lampai itu. Cuma Syirah seorang sahaja peminat Zikry yang suka tengok dari jauh.
“Hah! dah sampai! kak syuh! Syuh!” halau Syirah. Tangannya mengibas ke arah Yanti agar wanita 30 an itu pergi meninggalkannya sendirian dengan segera.
Syirah mencapai sekeping kertas A4. Lagaknya seperti seorang yang tekun berfikir. Pensel ditangan diketuk beberapa kali di kepalanya seolah-olah tekun memikirnya.
“Hai awak!” tegur Zikry sebelum berlalu pergi menuju blok kejuruteraan. Syirah hanya senyum mengangguk. Hatinya berbungga riang. Suka! Alahai gediklah pulak.
Yes! Misi berjaya.” Syirah mencapai milo taburnya lalu minum dengan rakus. Akhirnya. Dia tercekik milo tabur yang berketul-ketul. Habis merah padam muka Syirah akibat tidak tertahan. Satu tamparan dari belakang buat Syirah kembali normal tapi sakit bukan kepalang!
“Hoi! Kau tak apa ka?” soal Farah. Rakan sebilik Syirah.
“Kau ni kalau aku lemah semangat boleh jatuh pengsan tau tak!” marah Syirah. Semamangnya cara percakapan mereka kasar sebab terlalu rapat.
“Ada aku kisah?” selamba badak sahaja Farah menjawab. Dia mengambil tempat di sebelah Syirah. Gadis ini perlu diberi pesanan penaja agar tidak dikategorikan sebagai perigi cari timba.
“Syirah sampai bila kau nak intip si Zikry tu?” Farah cuba untuk memulakan kata-katanya.
“Aku bukan intip dialah…” jawab Syirah acuh tak acuh.
“Dulu bukan main lagi kau umpat pasal budak EE. Sekarang apa kes sudah tersangkut dengan budak paling handsome dekat EE tu?” Syirah tahu yang Farah menyindirnya. Bukan dia benci sangat bukan EE tapi kadang-kadang dia geram apabila semua rakan sekelas asyik-asyik cakap budak EE itu! Budak EE ini!
“Biasalah sesungguhnya aku seorang insan  biasa yang punya kelemahan.” ujar Syirah. Kedua belah tangannya digengam lalu diletakkan di dekat dadanya. Mimik muka simpati dilakar sedaya upaya bagi meraih belas kasihan Farah.
Kepala Syirah diketuk. Bukan sekali tapi dua. Farah geram dengan sikap acuh tidak acuh kawannya. Sudah berbakul-bakul nasihat diberi kepada Syirah. Entah ubat guna-guna apa yang Zikry buat sehingga Syirah boleh angau dengan lelaki itu.
“Biarlah Farah. Apa aku buat ni pun main-main je. Bukannya aku serius sangat.”ujar Syirah perlahan. Cuba mendapatkan belas dari Farah.
“Syirah…”
“Budak Zikry tu comel sebab tu aku suka!”
Farah mengetap bibir menahan sabar.
 “Sekarang pukul berapa?” soal Syirah. Tangannya menarik lengan Farah kasar. Alamak dia sudah terlewat untuk kelas Puan Kartika yang macam singa betina. Syirah segera berdiri.
“Matilah aku sudah lewat. Farah kau bayar dulu minuman aku. Nanti aku bayar balik. Puan Kartika punya kelas! Aduh macam manalah aku boleh terlupa. Habislah…habislah…” kata Syirah. Mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah diri sendiri sambil membawa kanvas lukisannya. Syirah seorang pelajar dari jurusan Seni Halus, sebab tu selalu saja berjalan dengan kanvas dan hasil seninya.



Syirah memandang kanvasnya yang masih suci dari sebarang dakwat. Dia buntu hendak melukis sebarang lukisan. Dulu banyak sahaja pujian melambung buatnya. Sehinggakan dia mampu mendapatkan pendapatan lebih melalui lukisannya yang dijual di pameran aku galeri lukisan.
Tajuk yang diberi pula terlalu mendalam.
“Diluar jangkaan. Apa punya tajuk lah!” Syirah bermonolog. Pening hendak mulakan lukisan. Dia duduk bersendirian di taman reakreasi bagi mencari ilham. Kalau memerlukan teman hanya buatkan Syirah leka bercerita dari buat kerja.
Syirah mengelamun jauh. Teringat pertemuannya dengan Zikry yang membuatkan dia sentiasa terkenang lelaki itu.
Syirah berlari laju. Sudahlah tertinggal bas. Dia sudah terlewat untuk ke pamerannya. Lukisan yang sudah disiapkan seminggu yang lepas digengam erat. Dia sepatutnya sampai ke tapak pertandingan bagi menyerahkan lukisan tersebut lebih awal tetapi terlalu banyak halangan hingga dia terlewat. Dari bilik terkunci ketika dia hendak baru keluar dari tandas hingga terpaksa menunggu kunci dari Farah yang sedang ada kelas, kemudian dompet pula tercicir hinggalah tertinggal bas. Dia sudah penat berlari. Sebiji teksi pun langsung tidak kelihatan.
Syirah terduduk. Sudahlah penat. Kakinya pula rasa nak tercabut sebab berlari jauh.
“Awak tak apa-apa?” soal seorang pemuda. Syirah memandang tepat mata jejaka itu. Kemudian beralih pula ke arah kereta sport lelaki itu. Harapannya semakin cerah. Berharap agar lelaki muda itu sanggup membantunya.
“Awak boleh tolong saya? Ini soal hidup mati arnab saya… please...” rayu Syirah. Dia tidak berani hendak cakap soal maut kalau pasal dia jadi alamatnya si arnab jadi mangsa.
Dahi lelaki itu berkerut. ‘Arnab punya pasal awek ni menanggis?’
“Sebenarnya saya nak hantar lukisan saya untuk masuk pertandingan. Saya dah daftar, yuran pendaftaran pun sudah bayar. Saya dah terlewat. Awak bantu saya boleh?” rayu Syirah. Air matanya dikesat.
Zikry memandang gadis itu kesian. Sebenarnya dia lebih tertarik dengan lukisan yang telah dibingkaikan ditepi gadis itu sebagai hadiah buat neneknya yang sukakan lukisan. Ingatnya pelukis jalanan yang menjual lukisan. Rupa-rupanya sebaliknya.
Zikry menggaru kepala. Dia mengangguk setuju.
“Baiklah. Saya hantar awak.” ujarnya. Syirah gembira sangat apabila ada yang sudi membantunya.
Mereka bertukar cerita antara satu sama lain ketika berada di kereta Zikry. Anak orang kaya rupanya. Patutlah masih ambil ijazah sudah ada kereta mewah.
“Hai awak!” tegur seseorang membuatkan lamunan Syirah lesap.
“Oh awak. Buat apa dekat sini?” soal Syirah bagi mengelak kekalutannya. Terkejut sebenarnya dengan kemunculan Zikry di taman tersebut.
“Saya? Saya datang sini hendak membeli belah” seloroh Zikry. Dia memandang kanvas Syirah yang masih kosong.
Syirah menggaru kepalanya. Masih belum dapat tangkap maksud Zikry. “Dekat sini ada shopping mall?” soalnya lurus. Zikry tersenyum dengan soalan yang terbit dari rakan barunya.
“Mana adalah awak. Mestilah saya datang sini nak jogging.” Jelasnya.
Syirah hanya mengangguk lalu memandang kosong lukisannya yang turut kosong macam otaknya sekarang. Langsung tidak dapat fikir apa-apa.
“Awak nak lukis apa?” soal Zikry.
Syirah menjongket bahu. “Tak tahu lagi.”
Zikry hendak meneruskan perbualan tetapi bunyi telefon terpaksa menghalang hasratnya. “Walaikumsalam Nurin. Oh! Kejap yaa…” Zikry menutup telefonnya dengan tapak tangan.
“Awak. Saya nak balik dulu. Bye.”
Syirah sekadar mengangguk. Dia belum pekak untuk mendengar nama seorang gadis dari bibir lelaki itu. Tentu awek dia! Kalau tidak masakan dia sanggup bergegas.
Syirah mengeluh. Tangannya melakar sesuatu di kanvas tersebut. Lakaran cinta terakhir. Cinta yang diluar jangkaan.



Syirah merenung wajah Zikry dari jauh. Tadi dia disapa seperti biasa. Tapi kali ini Zikry lalu di hadapannya bersama seorang perempuan ayu yang penting cantik. Kalau dibandingkan dengan dirinya bagai langit dan bumi. Terlalu jauh. Tengok penampilan sahaja pun kalah.
Gadis itu sungguh ayu, bertudung dan pakaiannya pula seperti anak orang kaya. Syirah pula sudahlah tidak bertudung. Pakaian dia pula warna warni walaupun tidak terlalu seksi dan menonjol sepeti gadis-gadis gedik yang minat dekat Zikry. Dia minat semua jenis warna sehingga mempengaruhi penampilannya. Perempuan itu terlalu sepadan dengan Zikry yang juga anak orang kaya bukan dia yang orang biasa sahaja.
 “Hoi!” sergah Farah.
“Kau apahal?” soalnya.
Syirah memuncungkan mulutnya ke arah Zikry.
“Nurin tu mungkin awek dia. Berkepit 24 jam. Sakit mata aku tengok.” Bebel Farah.
“Nama dia Nurin? Dari mana kau dapat info?” soal Syirah.
“Aku sudah lama tahu pasal Nurin. Wahid kan sekelas dengan mereka berdua. Mestilah aku tahu.” Jelas Farah. Wahid ialah teman lelaki Farah dan juga rakan sekelas Zikry iaitu budak EE. Ini bermakna Nurin juga budak EE malah sekelas dengan Zikry.
“Aku tak pernah nampak pulak dia sebelum ni.”
“Syirah! Kau baru kena Zikry dua minggu lebih. Itupun sebab Zikry bantu kau. Kalau tak Zikry yang terkenal tu pun kau tak kenal. Si Nurin tu ambil cuti seminggu sebab ada masalah keluarga konon tapi cuti sampai dua minggu lebih.” Jelas Farah. Sikap Syirah mungkin periang dan gila-gila tapi dia seorang yang tidak suka mengambil berat perihal sekeliling.
“Aku tak tahu pulak…” ujar Syirah perlahan. Dia cukup jelas nama Nurin la yang terkeluar dari mulut Zikry ketika dia menjawab telefon di taman rekreasi ketika itu.
“Syirah kau tak apa-apa?” risau Farah. Takut pula gadis itu.
Syirah cuba untuk senyum walaupun payah. “Aku tak apa-apa la Farah. Aku kan dah cakap dekat kau. Aku bukannya sukakan si Zikry tu. Aku main-main aje. Eh! Aku dah terlewat ni. Macam biasa bayarkan aku dulu…” Tipu Syirah. Mana mungkin dia akan berterus terang dengan Farah yang dia sukakan Zikry sejak pertemuan pertama di tepi jalan itu!

3 tahun kemudian…
Syirah menekan huruf  ‘Zik’ di kotak carian di laman sesawang Facebook. Tiba-tiba nama Tengku Zikry keluar sebagai hasil carian. Hatinya tertanya-tanya adakah itu Zikry yang dikenalinya dahulu kerana rakan bersama ialah Farah dan Wahid.
Syirah melihat satu persatu album memandangkan dia memang rakan Zikry di Facebook. Benarlah. Itu Zikry tapi rupa-rupanya ada gelaran Tengku di hadapan menandakan status lelaki itu. Matanya tertacap pada album bertajuk ‘Hari bersejarah--> perkahwinan’. Air matanya Syirah tiba-tiba gugur. Sudah berkahwin rupanya…
Dia melihat gambar pengantin perempuan. Nurin! Nasib baiklah dia mengalah lebih awal.  Kalau tidak sudah tentu dia merana sebab jatuh cinta dengan lelaki kaya itu.
Syirah menaip statusnya di halaman utama.
Hai awak!
Dua perkataan yang selalu diucapkan oleh Zikry setiap kali lalu dihadapannya di kafe selepas sesi perkenalan secara tidak langsung buat pertama kalinya. Syirah terkejut apabila nama Zikry telah LIKE status itu. Segera Syirah menutup laptopnya kasar akibat terlalu terkejut!
“ Cik Syirah!” panggil salah seorang pelayan di Restoran milik Syirah. Pintu biliknya diketuk perlahan…
 Benar kata pensyarahnya dahulu. Tidak semestinya kita kerja perkara yang kita belajar. Contoh terbaik ialah dia. Belajar melukis tapi buka restoran. Cuma dia tidak sia-siakan bakat dalam dirinya. Seluruh pelosok kedai dihiasi dengan lukisan dari hasil tangannya. Termasuklah lukisan seorang gadis yang duduk di bahu jalan bersama lukisannya sedang berhadapan dengan seorang pemuda. Lukisan yang bertajuk ‘Di luar jangkaan.’
Pertemuan itu membuatkan Syirah ingin melukis bagi mengingatkan dia tentang cinta pertamanya yang tidak kesampaian.
“Cik Syirah. Seorang wanita hendak berjumpa dengan cik.” Ujar pekerjanya.
“Siapa?”
“Saya tak kenal. Tapi rasanya dia minat dengan lukisan cik sebab dia asyik tanya pasal pelukis lukisan-lukisan di kedai ni.” jelasnya.
“Awak bawa dia masuk.” arah Syirah. Sememangnya ramai peminat seni yang bertandang ke restorennya berminat pada hasil seni Syirah yang tergantung. Semuanya berminat untuk membeli lukisannya tapi dia bertegas tidak mahu menjualnya.
“Assalamualaikum puan. Sila duduk. Ada yang boleh saya bantu?” soal Syirah lembut. Wanita berusia di hadapannya sungguh berketerampilan sehingga menutup jangkaan usianya. Kalau wanita bergaya tersebut berpakaian sepeti neneknya sudah tentu umur mereka sebaya.
“Cik Syirah yang lukis semua lukisan di hadapan?” soal wanita tersebut.
“Ya saya. Puan panggil saya Syirah aje.”
“Kalau begitu Syirah panggil saya nenek aje. Semua orang yang kenal nenek pun panggil nenek macam tu. Nenek sebenarnya berminat dengan lukisan-lukisan Syirah.”
Syirah dan wanita tersebut bertukar pandangan tentang lukisan. Syirah sendiri pelik. Puan Ruhaini yang mengelarkan dirinya sebagai nenek itu sungguh berminat terhadap seni tapi tidak sama seperti peminat seni yang lain. Peminat seni yang pernah berjumpa dengannya hanya ingin membeli lukisannya walaupun dengan harga yang mahal sedangkan ‘nenek’ dihadapannya hanya berminat tapi langsung tidak menyuarakan hasrat untuk membeli karyannya.
Syirah bersetuju untuk mengikuti wanita tersebut untuk menyaksikan koleksinya di galeri wanita tersebut. Tapi Syirah terkejut. Ingatnya galeri di galeri tapi wanita tersebut membawa dia ke sebuah vila mewah.
“Masuklah Syirah… bukannya ada sesiapa pun di rumah. Anak cucu nenek dah besar. Semua sibuk dengan kerja.” ajak wanita tersebut melihat wajah Syirah yang teragak-agak.
Syirah mengangguk. Dia mengekori wanita tersebut memasuki vila mewah itu. Puan Ruhaini mengajak Syirah ke galeri lukisannya. Syirah terpegun dengan lukisan-lukisan yang tergantung rapi. Tiba-tiba matanya tertacap pada lukisannya yang membuatkan dia bertemu dengan Zikry dulu. Lukisan yang di bawa ke pertandingan.
“Nek… boleh saya tanya sesuatu? Lukisan ni…” Syirah menunjukkan lukisannya.
“Oh! Yang ni cucu nenek belikan sempena hari jadi nenek. Entah dari mana dia dapat nenek sendiri tak tahu. Tapi nenek suka lukisan ni sebab lukisan sawah padi dan seorang wanita yang sedang tekun menuai padi membuatkan nenek teringat ibu nenek.” jelas wanita itu.
Syirah mengangguk. Sememangnya lukisan yang dipertandingkan itu sempena  ibunya di kampung. “Sebenarnya Syirah yang lukis lukisan ni. Wanita tu ibu Syirah… ibu kerja di sawah padi untuk mencari rezeki kami dahulu. Pondok tu tempat kami berehat.”
“Betul?” ternyata wanita itu terkejut dengan kenyataan Syirah. Sekali lagi gadis itu mengangguk setuju.
“Betullah nek. Syirah kenal sangat dengan lukisan Syirah.” Yakinnya.
Puan Ruhaini mengajak Syirah untuk makan malam di rumahnya. Pada mulanya Syirah menolah tetapi mengenangkan wanita itu bersungguh-sungguh untuk mengenalinya menyebabkannya bersetuju.
Syirah duduk di ruang tamu ketika seseorang memberi salam di pintu. Segera gadis itu berdiri akibat terkejut dengan tetamu hadir. Seseorang yang terlalu banyak hadir di fikirannya hari ini. Tengku Zikry!
“Syirah?” terkejut Zikry dengan kemunculan gadis itu di rumahnya.
“Iyie kenal Syirah?” soal Puan Ruhaini yang muncul entah dari mana. Tadi dia minta untuk mengundur diri untuk mandi.
“Oh! Nek. Iyie kenal Syirah. Kawan dulu waktu belajar.” jelas Zikry. Dia salam tangan neneknya.
“Begitu… kamu berceritalah dulu. Nenek nak ke dapur bantu sediakan makan malam.” Puan Ruhaini meninggalkan Syirah dan Zikry di ruang tamu.
“Hai awak.” tegur Zikry setelah lama berdiam diri.
“Hai jugak…” jawab Syirah. Dia kekok dengan keaadan sebegini. Mana anak bini si Zikry ni?
Err.. awak apa khabar?” soal Zikry. Dia mengambil tempat di hadapan Syirah.
“Baik. Awak?” Argh! Apa sebenarnya yang aku nak buat ni. Janggal gila Aku nak lari sini. sambung Syirah dalam hati. Takut hatinya terusik lagi dengan ketampanan Zikry. Tidak boleh Syirah dia tu suami orang!
“Saya baik je. Cuma ada orang aje yang hilang entah ke mana...”
“Hah?”  Syirah terpinga-pinga. Siapa yang hilang bini dia kah?
“Oh! Tiadalah. Macam mana awak kenal nenek saya?” soal Zikry.
“Nenek datang jumpa saya tadi. Dia kata minat dengan lukisan saya. Kemudian kami bercerita dan nenek ajak tengok koleksi dia di galeri. Tak tahu pula saya galeri tu di rumah. ingatkan galeri di galeri.” Galeri di galeri? Syirah sendiri tak faham apa maksud kata-katanya. Dia tiba-tiba gagap apabila matanya bertentang dengan Zikry.
Syirah menelan liur. Kes parah!
“Nenek ni baru kenal sehari dah ajak bawa balik rumah.” rungut Zikry. Kata-kata Zikry sedikit sebanyak menguris hati Syirah. Aku ni ada nampak muka-muka penjahat ka? Desisnya.
“Apa maksud awak? Saya ni jahat sangat ka?” Dia betul-betul tersindir dengan kata-kata Zikry tadi.
Zikry hendak meneruskan kata-katanya tapi jeritan neneknya dari dapur memanggil nama cucunya membuatkan lelaki itu terpaksa berlari ke dapur.
Syirah turut menuju ke dapur rumah untuk mengetahui apa yang terjadi.
“Kenapa nek?” soal Zikry setiba di dapur yang tersusun rapi.
“Nenek nak minta tolong kamu buka kulit durian ni Hah! keras sangat. Kami tak larat nak buka. ” ujar wanita tersebut. Zikry mengeluh. Ingatkan apa tadi! Otaknya mengingat semula keadaan tadi. Adakah Syirah terasa dengan kata-katanya. Ah! Gawat! Ni semua mulut punya pasal!
“Nek. Syirah minta maaf. Syirah kena balik awal hari ni. Baru teringat yang dekat rumah tiada orang jadi Syirah kena balik awal teman adik Syirah. Syirah minta maaf lagi ye.” Bohong Syirah. Alah.! Bohong sunat tak apa. sambungnya dalam hati.
“Alah… baru nenek nak ajak makan malam dekat sini.” Wajah tua yang muram tersebut ditatap lembut. Kalau bukan kerana Zikry yang muncul di rumah tersebut sudah tentu dia akan bersetuju tambahan pula dia takut terserempak dengan isteri Zikry. Tidak sangup dia melihat kemesraan suami isteri itu nanti.
“Syirah minta maaf sangat-sangat. Lain kali kita borak lagi yaa...” pujuk Syirah namun dia berharap kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya terpaksa bertembung dengan Zikry.
“Baiklah. Iyie boleh tolong hantar Syirah balik?” soalnya. Zikry mengangguk pantas. Pucuk di cita ulam mendatang…. Macam tahu-tahu sahaja nenek yang kepala otaknya memang tengah fikir cara untuk menghantar Syirah sendiri.
Syirah mengeleng laju. “Tak apa nek. Syirah boleh balik sendiri. Lagipun Syirah nak singgah satu tempat kejap baru balik. Ada hal penting.” Hal apa tu Cik Syirah oi! Ini kali kedua dia menipu lagi.
Otak Zikry sedang ligat mencari kata-kata yang bernas agar dapat menghantar Syirah tapi malang. Satu pun dia tidak dapat untuk membidas. Apasal otak aku ni lembab?
“Baiklah. Syirah hati-hati tau.” pesan wanita tua itu perlahan.



Hubungan Syirah dengan nenek Zikry semakin rapat hari demi hari. Setiap minggu wanita itu pasti bertandang ke kedai Syirah. Zikry sudah maklum perkara tersebut. Dia mengekori neneknya ketika neneknya keluar rumah untuk berjumpa dengan Syirah. Dia hanya perlu bersemuka dengan Syirah sahaja. Rindu tidak dapat ditahan lagi. Betapa rindunya dia dengan gadis itu. Sudah bertahun mereka tidak bersemuka tidak sangka pula akan bersua dengan Syirah di rumahnya sendiri.
Keajaiban yang sangatlah menyenangkan hatinya!
“Cik Syirah seorang pelanggan hendak berjumpa dengan cik sekarang. Katanya hal penting. Kalau cik tanya siapa mamat tu saya pun tak kenal. Saya tanya namanya tadi tapi dia tak penting yang penting cik memang kenal dia.” beritahu Laili salah seorang pekerjanya.
“Siapa pulak cari pasal awal-awal pagi ni?” gerutu Syirah.
Laili sekadar menjongket bahu. Malas hendak campur aduk hal ketuanya. Syirah bangun lalu keluar melihat gerangan manusia yang tiba-tiba cari pasal dengan dia. Kena lagi dia betul-betul tiada mood. Demamnya belum lagi kebah sejak semalam. Dia sendiri tidak tahu punca dia kena demam panas sejak petang semalam.
“Ada apa yang saya bantu encik?” soal Syirah kepada lelaki yang membelakanginya. Jejaka tersebut sedang khusyuk memandang lukisan di hadapannya. Lukisan peristiwa dia dan Zikry di bahu jalan suatu ketika dahulu.
“Cantik lukisan ni. Pekerja awak kata ini adalah hasil karya dari tangan awak sendiri.” ujarnya. Lelaki itu masih lagi membelakangi Syirah. Hati Syirah berdegup! Tiba-tiba dia rasa susuk tubuh yang sedang membelakanginya ialah Zikry.
Syirah berdiam diri. Menanti agar lelaki itu sudi memalingkan tubuhnya.  Kalau itu Zikry sudah tentu lelaki itu cam pakaian lelaki dalam lukisan itu sebiji dengan apa yang dipakai olehnya suatu ketika dahulu.
 “Lelaki ni nampak familiar. Saya rasa macam kenal. Sebab tu saya panggil saudari Syirah untuk mendapatkan kepastian. Hati saya tiba-tiba ingin mengetahui lelaki ini. Seolah-olah terlalu mengenalinya.” Dengan penuh sopan lelaki itu bersuara. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Syirah yang sedang merenungnya.
Syirah mengeluh. Dia tidak dapat melupakan situasi tersebut tapi Zikry sudah melupanya seratus peratus! Hatinya dihambat sayu.
“Tak kan awak sudah lupa Zikry? Itukan awak.” jelas Syirah perlahan.
“Zikry? Maksud saudari nama lelaki ini Zikry? Saya rasa saudari salah orang. Nama saya Fikry bukan Zikry. ” kata jejaka yang memperkenalkan dirinya Fikry dan bukan Zikry.
Dahi Syirah berkerut. Mustahil dia tidak mengenali rupa paras Zikry. Baru beberapa minggu lalu dia terserempak dengan Zikry di rumahnya.
“Along!” jerit seseorang dari pintu. Syirah berpaling melihat manusia tersebut. Zikry? Kemudian dia berpaling ke hadapan semula.
Kenapa ada dua Zikry?!
Kepala Syirah berpinar. Tangannya memegang kepalanya yang sakit. Badan Syirah terasa berat untuk berdiri. Dia dapat merasakan pandangannya yang semakin gelap.  Akhirnya Syirah jatuh ke lantai.



Syirah cuba untuk duduk. Matanya meliar melihat keadaan yang serba putih. Konfius sekejap dengan keadaan yang masih baru padanya
“Hai awak!” tegur seseorang dari tepi.

“Hai Zikry? Apa awak buat sini. Eh nanti dulu. Awak ni Zikry atau Fikry? Tadi saya mimpi nama awak Fikry.” tanya Syirah. Sama ada mimpi itu kenyataan atau khayalan. Dia masih tidak dapat membezakannya.
“Saya Zikry la awak.” Terang Zikry. Pintu wad terbuka. Kelihatan nenek Zikry dan Seorang wanita anggun sedang memasuki biliknya. Nurin. Ya benar itu Nurin!
“Syirah taa apa-apa?” soal Puan Ruhaini.
“Syirah tak apa-apa nek. Pening sikit aje.”
“Doktor kata awak tekanan sampai jatuh demam.” terang Zikry. Jelas terpancar riak wajahnya yang risaukan keadaan Syirah.
“Nenek dan Nurin nak keluar kejap solat. Zikry tengok-tengokkan Syirah.”
Zikry mengangguk.
“Awak buat jantung saya gugur tadi tahu tak! Saya risaukan apa-apa terjadi pada awak. Saya sayangkan awak Syirah. Saya tak nak sesuatu terjadi dengan awak.”
Air mata Syirah berlinangan. Kenapa kau suka sentuh hati aku Zikry? Kau tahu tak yang kata-kata kau akan menguriskan hati isteri kau Zikry. Kata-kata itu hanya terluah dalam hati Syirah. Namun untuk meluahkannya terlalu berat.
“Awak… kata sayang terlalu mudah bagi awak. Tapi ia membawa 1001 makna buat saya. Mungkin kata sayang itu sebagai kawan tapi bagi saya tidak Zikry.”  ujar Syirah teresak-esak menahan tangisannnya.
“Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak. Saya sentiasa rindukan awak Syirah. Saya tahu awak pun rasa perasaan itu. Betul kan?” teka Zikry.
“Awak tidak patut berkata demikian Zikry. Awak perlu jaga hati isteri awak. Jangan mempermainkan perasaan wanita Zikry. Nurin seorang isteri yang solehah berbanding saya.”
Zikry tersenyum. Dia sudah dapat mengagak satu perkara.

“Nurin isteri yang solehah Syirah. Tapi awak seorang gadis yang mencuri hati saya.”
“Awak sedang mempermainkan hati wanita Zikry.” Marah Syirah. Hatinya terbakar dengan senyuman Zikry.
“Nurin seorang isteri yang solehah. Malah nenek pun sayang Nurin. Tapi Nurin bukan isteri saya. Nurin isteri Fikry bukan Zikry. Saya sayangkan awak Syirah. Sejak pertama kali lagi. Percayalah.”
Syirah terdiam. Hilang kata-kata. Hanya air mata tanda terharu sahaja mendengar kata-kata Zikry.
“Awak boleh terima saya?” soal Zikry.
Syirah mengangguk perlahan.
Kebetulan Fikry, Nurin dan Puan Ruhaini masuk ke wad Syirah. Syirah memandang wajah Fikry dan Zikry. Seiras. Hanya penampilan dan tahi lalat kecil di pipi Fikry yang membezakan mereka berdua.
“Iyie buat apa dengan Syirah sampai dia menangis?” soal nenek Zikry.
“Nek… iyie nak kahwin dengan Syirah.” umum Zikry tiba-tiba. Dia yang paling rapat dengan neneknya berbanding Fikry.
Syirah terkejut. Selamba badak saja Zikry cakap dengan neneknya sedangkan Syirah sudah malu.
“Kahwin ajelah. Nenek lagi suka!” katanya. Puan Ruhaini tergelak.
“Yeah! Bulan depan kita tunang terus nikah. Muktamad. Sudah lama Iyie tunggu Syirah tau…” kata Zikry manja.
“Eleh! Iyie ni gatal nak nikah.” ujar neneknya. Zikry memuncungkan mulutnya. Merajuk!
  Mereka tergelak melihat telatah Zikry. Syirah hanya tersenyum membalas renungan Zikry. Mereka kini pasti cinta ini milik mereka berdua.


                                                           TAMAT

Awak! si comel yang baru habis baca. jangan lupa komen n share ya!

8 comments:

hai comel!
Terima kasih baca & sudi komen.

Nurfazila Suhaide =)