Mata memandang ruang tamu yang sudah terhias cantik
untuk menyambut hari yang bakal menjelma. Hari yang bersejarah buat dirinya
setelah sekian lama. Masalahnya kini adakah mereka sudah bersedia dengan hari
itu?
Tadi Ainul terdengar Ikram seolah-olah memujuk
seseorang di telefon. Sudah tentu kekasih Ikram sebab berita tentang
perkahwinan mereka sudah tersebar luas. Keluarga berpengaruh seperti Puan
Noraini dan Encik Ahmadi sudah tentu mendapat perhatian ramai. Ditambah pula
dengan majlis gilang gemilang anak tunggal pak ciknya sudah tentu meriah sakanlah
gamaknya.
“Sudah bersedia jadi isteri mithali?” bisik Ikram ke
telinga adiknya yang termenung memandang ruang tamu yang dihias cantik. Romantik
sungguh nada suara Ikram yang berbisik ke telinga Ainul.
Ainul memandang Ikram yang berjalan dari belakang
bersebelahan dengan adik sepupunya. “Abang Am? Sedia jugakah?”
“Kita tanya dia. Dia pula soal kita balik.” cebik
Ikram.
“Alah jawab aje la. Bukannya luak pun.” pujuk Ainul.
Dia setia menanti kata-kata dari mulut Ikram. Tapi lain pula reaksi Ikram.
Abangnya merenung wajahnya tajam.
Air liur ditelan pahit.
“Kalau tak nak jawab tak payah. Ainul tak rugi
apa-apa pun.” Ainul berjalan meninggalkan Ikram. Dia tidak kisah pun apa-apa
jawapan yang bakal terpacul dari mulut abangnya. Tapi renungan mata saja
sebagai jawapan.
Jawapan yang sukar ditafsir! Nanti lain maksud Ikram
lain pula dia fikir. Akhirnya, Ainul berdiam sahaja. Malas hendak fikir
panjang.
Hilai tawa Ikram membantut langkah Ainul dari terus
meninggalkan abangnya.
“Tahu juga budak kecil ni merajuk. Hahahaha!” Orang
sekeliling yang datang membantu di ruang tamu memandang ke arah pasangan
tersebut.
“Abang malu sikitlah…” tegur Ainul.
“Datang sini kalau tak nak abang buat malu lagi.
Cepat!” arah Ikram. Ainul mengengam tangannya
lalu tunjuk menumbuk kepada Ikram. Tapi kakinya melangkah mendekati Ikram.
“Macamlah kita takutkan dia. Badan kecil ada hati
nak lawan abang.”
“Abang Am nak apa?”
“Alamak takutnya.. Garangnya cik adik ni.
Hahaha…” Ikram menerkup mulutnya. Mata
dibuntang tanda terkejut. Suka sangat sakat Ainul.
“Yiee.. buat sakit hati saja bercakap dengan abang
ni tau. Baik lagi Ainul bantu Mak Bibah dekat dapur dari bertekak dengan abang
Am. Buang air liur saja.”
“Sinilah dulu. Abang Am nak tanya sesuatu ni.”
Ainul tidak jadi melangkah. Dia menanti Ikram
menuturkan katanya.
“Kawan-kawan Ainul dekat Taiwan tu ada jemput sekali
tak?” soal Ikram. Serta merta riak wajah Ainul berubah. Entah kenapa hatinya
nyilu mendengar soalan Ikram. Berangkali dia terasa sebab Rui Zhe ataupun Xiao
Wei tidak membalas email yang dihantar kepadanya.
“Ainul?” panggil Ikram.
“Hei kenapa adik abang menangis ni?” Ikram mengaru
kepalanya. Terkesan air muka Ainul yang berubah kemerahan.
“Ainul tak nangis. Cuma sedih saja sebab kawan Ainul
tidak balas email Ainul. Entah berapa banyak sudah Ainul hantar tapi satu pun
tidak berbalas. Salah Ainul juga sebab tidak ingat nombor mereka. Tengok apa
yang jadi…”
“Sabar sajalah. Nanti kalau kita ada masa. Abang
ajak Ainul jalan-jalan pergi Taiwan.”
Ainul mengangguk. Senyuman manis dihadiahkan kepada
Ikram.
“Sudahlah. Kawan abang Ijat anak mama Aleesa pun tak
datang . Kawan baik Abang Am dan Abang Iqbal. Dia kirim salam saja dekat kita
semua sebab dia tengah urus pemindahan ke Sabah. Senang sikit katanya nak ke
kerja.”
“Abang Ijat tu kerja apa Abang Am?”
“Amboi belum kenal sudah berabang-abang nampak.” gurau
Ikram.
“Alah dah memang golongan tua dari Ainul. Panggil
Abang aje la. Tak kan nak panggil Adik Ijat kot.”
“Eh! Budak kecil ni ada hati nak menjawab. Ijat tu
pensyarah UITM.” Ikram menerangkan serba serbi tentang Ijat sehinggalah kisah
dia, Iqbal dan Ijat ketika zaman persekolahan.
Ryssa melempar majalah yang dipegang.
Rokok ditangan ditenyek beberapa kali pada bekas rokok di atas mejanya. Marah
dengan Ikram kerana merahsiakan perkahwinan yang bakal berlangsung. Ketika
bercakap dengan Ikram di talian Ikram berjanji akan menerangkan perihal
sebenar. Pokoknya dia tidak lepaskan Ikram begitu saja.
“Arghh!” jerit Ryssa. Melempaskan geram kerana
Ikram bakal menjadi milik orang lain.
Hari ini dia membatalkan semua temu
janjinya. Hanya kerana Ikram yang membuatkan Ryssa merana. Demam sebab tidak
dapat menjadi isteri sah Ikram. Ryssa tahu perangai Ikram yang memangnya tidak
serius dengan perhubungan mereka tapi sekiranya dia pandai ambil hati dan jerat
dia sudah tentu Ikram akan tergoda juga suatu hari nanti.
Usai menjadi tunangan Ikram kelmarin. Hari
ini pula semua sahabat handai, jiran tetangga dan keluarga terdekat belah bapa
Ikram pula berkumpul untuk meraih hari pernikahan mereka. Semua sibuk memuji
pasangan pengantin yang bakal sama padan sama cantik dengan bertemakan ros
putih.
Ruang tamu dihiasi dengan ros putih
seolah taman bunga ros putih seperti mana permintaan Puan Noraini. Ibu bapa
pengantin dan pengapit juga memakai baju serba putih. Malah Mak Bibah dan Pak
mat turut mengenakan baju serba putih yang disediakan oleh Ainul dan Ikram.
Ainul yang duduk tersimpul di kusyen
putih yang tersedia di ruang tamu buat pengantin perempuan persis seorang
bidadari syurga. Serba putih dan cantik simbol kesucian seorang wanita Islam.
Semua tetamu memuji atas keayuannya.
Senyap.
Semua orang ingin mendengar kata lafaz
dari Ikram yang duduk berhadapan dengan tok kadi.
“Aku terima nikahnya Nur Ainul Mardhiah
binti Sulaiman dengan mas kahwin sebanyak dua ratus Ringgit Malaysia tunai…”
Ainul mengalirkan air matanya. Telinganya cukup jelas mendengar lafaz Ikram. Dengan
sekali lafaz sahaja Ikram dapat melafazkan akad nikah tersebut dengan tenang.
Kelihatan saksi dan wali terangguk-angguk tanda sah.
Dengan berwalikan hakim menjadikan
status Ainul berubah. Puan Nur Ainul Mardhiah gelaran baru dan terlalu asing
buat Ainul.
“Baca
doa Ainul.” bisik Afrina selaku pengapitnya. Setiausaha Ikram yang dikenalinya
beberapa minggu lalu secara tidak langsung menjadi salah seorang kawan baru
Ainul. Ainul mengangkat tangannya untuk membacakan doa sekali.
Ainul juga tahu yang Ikram ada
menceritakan kepadanya kenapa dia mahu Afrina dan Iqbal untuk jadi pengapit
mereka. Bagi merapatkan Iqbal dan setiausaha suaminya. Suami? Pelik betul Ainul
mengelar Ikram sebagai suaminya.
Ikram yang ditemani Puan Noraini
mendekati isteri yang baru sahaja dikahwininya untuk menyarungkan cincin dan sesi pembatalan air wuduk. Sejuk
mata Ikram memandang Ainul yang memakai baju pegantin putih berlabuci sedondon
dengannya.
Jari runcing milik Ainul dipegang
lembut. Sejuk. Sama ada takut atau gementar dengan situasi mereka. Ikram
memandang isterinya sambil tersemyum. Memberi semangat agar gadis itu bertenang.
Di saat Ikram menyarung cincin ke jari
Ainul. Jurukamera berpengalaman sudah mengambil tugas untuk menangkap gambar-gambar
buat kenangan si pengantin baru. Ainul menyalam tangan suaminya. Perlahan-lahan
tangan Ikram dicium.
Ikram kemudiannya mencium dahi Ainul
lembut untuk sesi pembatalan air wuduk agak lama agar jurukamera dapat
menangkap gambar mereka. Jantung Ikram berdebar-debar saat dia mencium dahi
adiknya. Inilah kali pertama dia mencium seseorang wanita selain ibunya.
“Selamat pengantin baru Ainul.” Puan
Noraini memeluk menantunya lembut.
“Terima kasih bu.”
Ainul menyalam kedua tangan mertuanya.
“Jom kita tangkap gambar.” ajak Ikram.
Dia menghulurkan tangan kepada Ainul. Ainul tertunduk malu tatkala menyambut
huluran tangan Ikram.
“Jangan takut. Abang Am ada.” bisik
Ikram.
“Mak
Bibah, Pak Mad marilah sini tangkap gambar sekali dengan kami.”
Mak Bibah mengeleng. Malu untuk
menyertai sesi fotografi keluarga tersebut. Mana setaraf dengan mereka yang
hanya orang bawahan.
“Kejap ya..” ujar Ainul. Dia mendekati
Mak Bibah lalu menarik tangan wanita tersebut.
“Jom… Mak Bibah dan Pak Mad kan keluarga
kami juga.” pujuk Ainul. Akhirnya wanita itu dan suaminya mengangguk setuju. Mak
Bibah gembira dengan penerimaan keluarga itu terhadap mereka.
Ramai tetamu turut mengambil peluang
untuk mengambil gambar bersama raja sehari. Ada yang memuji pengantin baru dan
ada juga yang tidak berpuas hati dengan persandingan yang berlaku. Terutamanya
anak Tipah radio yang pernah ditolak mentah-mentah oleh Ikram. Begitu juga
kekasih-kekasih Ikram yang hadir. Mencebik dan tidak puas hati dengan pilihan
Ikram.
Ainul hanya menjongket bahu berpura-pura
tidak faham maksud perempuan-perempuan muda yang memandangnya tajam. Dalam hati
Ainul memanjatkan syukur yang Ikram tidak meninggalkannya sendiri melayan
kerenah tetamu yang hadir. Ke mana Ainul pergi Ikram pasti menemani isterinya.
“Mereka sepadankan?” soal Iqbal kepada
Afrina yang sedang memandang kedua pengantin tersebut. Ramah mereka menegur
tetamu yang hadir.
Afrina memandang sebentar wajah Iqbal
yang juga bersarungkan baju melayu putih sedondon dengannya yang juga pengapit
pengantin. Dia mengalihkan pandangannya. Malu apabila Iqbal sedar renungannya.
“Bilalah saya dan awak dapat macam tu ya…
terpingin pula… haha!” gurau Iqbal berbasa basi. Sebenarnya dalam hati dia
masih mengharapkan agar Afrina sedar akan cintanya terhadap gadis itu.
Wajah Afrina merona kemerahan. Malu
dengan kata-kata Iqbal. Hatinya sedikit terusik dengan ketampanan Iqbal tapi
cepat-cepat diusir. Dia tahu yang dia tidak layak buat lelaki kaya itu. Taraf
mereka bagai langit dan bumi.
“Saya doakan Encik Iqbal cepat bertemu
dengan jodoh Encik.” ujar Afrina dengan nada yang sama.
“Jodoh ada di depan mata saya sekarang.
Tapi tidak tahulah kalau orang tu sudi dekat kita. Iyalah siapalah saya ni
kan…”
“Janganlah macam tu Encik. Mungkin
kadang-kadang kita tidak sedar yang jodoh itu bukan milik kita.” tukas Afrina.
Jantungnya cukup berdebar. Bukan dia tidak faham maksud Iqbal. Malah turut
terasa dengan nada Iqbal yang seolah-olah mengoda hati kerdilnya.
“Encik Iqbal tampan, kaya, ramah dan
baik di mata saya. Sudah tentu ramai yang cintakan encik.” sambung Afrina lagi.
Sebenarnya ia lebih dari sebuah kata-kata saja. Ianya isi hati Afrina tentang
Iqbal.
“Tidak cukupkah semua tu untuk awak
terima saya Rina? Sekurang-kurangnya berilah saya peluang untuk dekat dengan
awak.” pujuk Iqbal. Afrina yang kini menjadi igauannya setiap malam. Mimpinya
tatkala tidur. Puas dia memikirkan cara untuk dekat dengan Afrina termasuk
rancangan Ikram agar mereka berdua jadi pengapit pengantin itu hari ini.
“Maaf Encik.”
“Apa masalahnya Afrina? Setahu saya awak
bukannya milik sesiapa. Kenapa susah sangat awak untuk terima cinta saya?”
desak Iqbal.
“Kita tidak setaraf encik. Kita bukan
dari golongan yang sama. Kalau encik tinggal di banglo mewah saya pula tinggal
di perumahan kos rendah. Kita bagai langit dan bumi. Ramai lagi gadis yang
setaraf dengan Encik.” ujar Afrina lantas meninggalkan Iqbal sendirian.
Semua tetamu sudah pun meninggalkan
perkarangan rumah keluarga Encik Ahmadi dan Puan Noraini sedikit demi
sedikit. Ainul meminta diri untuk masuk dalam
bilik untuk menunaikan solat isyak sekali gus merehatkan diri. Mujurlah mereka
menggunakan khidmat catering untuk
majlis bagi memudahkan kerja mereka semua. Majlis persandingan pula akan diadakan
keesokan harinya di hotel.
Sejadah dibentangkan untuk menunaikan
solatnya. Terkejut Ainul sedikit apabila terlihat kelibat Ikram yang masuk ke bilik.
Mujurlah dia sudah bertelekung.
“Ainul sudah habis solat?” soal Ikram.
“Baru nak mula.”
“Tunggu abang jap. Abang Am ambil wuduk.
Kita solat berjemaah…” ujar Ikram. Dia ingatkan Ainul sudah masuk tidur. Sebab
itu dia masuk lewat. Rupa-rupanya Ainul naik mandi lagi. Desisnya apabila
terhidu wangian syampu yang diguna oleh Ainul.
Hati Ainul tersentuh mendengar suara
Ikram yang sedang mengimamkan jemaah mereka. Merdu suara suaminya membaca
doa-doa. Usai menunaikan solat Ikram menghulurkan tangannya. Ainul memandangkan
huluran tangan tersebut kosong. Kemudian perlahan-lahan dia membalas lalu
mencium tangan suaminya.
Ainul tertunduk malu dengan tingkahnya
sendiri. Sudah terbiasa sebenarnya selepas solat dia wajib mencium kedua tangan
arwah datuk dan neneknya. Selepas ketiadaan arwah. Ainul pula mencium tangan
Puan Noraini dan Mak Bibah ketika mereka solat berjemaah.
Mereka mengemas sejadah lalu diletakkan
ke ampaian yang tersedia di bilik Ikram yang dihias cantik sempena bilik
pengantin.
Ainul memperlahankan tingkahnya. Serba
salah sebab Ikram sedang duduk di atas sofa sedangkan dia hendak membuka
telekungnya.
“Ainul buka sahajalah bukannya haram
pun. Tak kan nak tidur dengan telekung-telekung tu sekali.” Perli Ikram setelah
lama bilik mereka sepi.
Bahu Ainul sedikit terjongket sebab
terkejut. Antara mahu atau tidak dia terpaksa menanggalkan telekungnya. Terurai
rambutnya yang panjang. Masih sedikit basah sebab dia baru sahaja habis mandi.
Tanpa memandang ke arah Ikram, dia melangkah duduk untuk menyisir rambutnya di
meja solek.
Ikram pura-pura khusyuk menghadap
telefon bimbitnya sedangkan anak matanya memandang ke arah rambut Ainul. Cantik
dan lurus mengurai.
Naluri lelakinya tersentuh dengan
isterinya sendiri walaupun dia tahu yang dia tidak ada sebarang perasaan cinta
terhadap Ainul. Lelaki mana yang tidak tergoda dengan wanita yang lemah lembut
seperti Ainul. Tambahan pula hubungan mereka sah sebagai suami isteri. Nasib
baik iman dia masih kuat!
“Esok Ainul tolong sediakan pakaian kita.
Kita akan bermalam di hotel untuk majlis persandingan esok. Pihak hotel sponsor beberapa buah bilik untuk
keluarga pengantin. Lagipun mesti penat tu jadi eloklah kita bermalam di sana.
Ainul mengangguk walaupun masih
membelakangkan Ikram.
“Abang Am tahu. Ainul mesti
berdebar-debar sekarangkan…hahaha…” gelak Ikram. Masih sempat lagi sakat adik
sepupu merangkap isterinya.
“Janganlah risau Ainul. Abang Am tak
makan orang pun. Abang nak mandi dulu. Tidurlah awal.”
Ikram mencapai tualanya lalu masuk ke
bilik mandi. Akhirnya baru Ainul dapat melepaskan nafas lega. Sesak nafasnya
berdua-duaan dengan lelaki diruang yang kecil walaupun Ikram halal baginya.
Beberapa kali Ainul berpaling. Sekejap
ke kanan sekejap ke kiri. Matanya tidak ingin bekerjasama walaupun badannya
sudah letih. Ketika Ikram membuka pintu tandas segera Ainul menutup matanya
rapat.
Ikram tersenyum kecil. Bukannya dia
tidak dapat tangkap anak mata Ainul yang bergoyang-goyang walaupun matanya
tertutup rapat dan hanya bercahayakan lampu tidur.
Usai memakai baju. Ikram mencapai comforter yang disediakan oleh Mak Bibah
di dalam almarinya lalu mengambil bantal di atas katil. Dia sudah mengambil
langkah berjaga-jaga untuk menyembunyikan patung kucingnya sebelum sesiapa
menapak ke dalam biliknya. Bahaya kalau kantoi!
Ikram membentangkan comforter di lantai sebelah katil. Dia menyelimutkan badannya.
Ikram sendiri sudah segar selepas mandi. Langsung tiada tanda-tanda hendak
tidur.
“Ainul…” panggil Ikram.
“Ainul…”
“Abang tahu Ainul belum tidur. Abang pun
tak mengantuklah. Kita bercerita nak?” soal Ikram.
Senyap. Isterinya langsung tidak memberi
tindak balas.
“Cerita apa?” soal Ainul setelah sekian
lama. Apa boleh buat dia sendiri tidak dapat tidur.
“Apa-apa ajelah. Abang bosan ni… hah!
ceritalah pasal kehidupan Ainul dekat Taiwan selama ni.” Ujar Ikram.
Pandangannya terarah ke siling bilik begitu juga Ainul. Masing-masing memandang
siling bilik. Seolah-olah sedang berdepan sesama mereka walaupun hakikatnya
kedua-dua sedang baring.
“Cerita Ainul dekat Taiwan. Ermm… nak
mula dari mana?”
“Macam mana dulu waktu Ainul mula-mula
pindah sana?”
“Pada mulanya. Ainul masih lagi jadi
trauma. Waktu sekolah rendah Ainul selalu kena buli. Tapi jiran kita Xiao Wei
dan Rui Zhe selalu bantu Ainul. Selalu temankan Ainul main. Mereka baik dengan
Ainul dan arwah datuk dan nenek…” Ainul terdiam seketika. Teringatkan kedua
orang kesayanganya.
“Ainul?” panggil Ikram. Dia terdengar
esakan kecil Ainul kerana bilik mereka yang sunyi.
“Ainul tak apa-apa. Ainul dan Xiao Wei
jadi kawan baik walaupun berlainan agama. Arwah nenek pun tidak pernah menegah
kami dua berkawan. Asalkan Ainul pandai jaga diri. Ketika di sekolah menengah
Ainul pernah beberapa kali kena buli…”
“Malangnya adik abang seorang ni.
Lembik! Selalu saja kena buli…hahaha…” tukas Ikram.
“Ermm… iyalah! Tapi Rui Zhe selalu
selamatkan Ainul. Rui Zhe ialah Abang Xiao Wei. Waktu sekolah menengah dialah
sentiasa melindungi kami dua.” Puji
Ainul. Dia teringatkan ketika Rui Zhe menumbuk beberapa orang pelajar lelaki
yang mengacau Ainul dan Xiao Wei ketika dalam perjalanan pulang kerumah.
Nasib baik ketika itu Rui Zhe tidak jadi
latihan bola keranjang dan pulang awal dan dia sempat bertembung dengan mereka.
“Puji nampak… kekasih hati ke?” soal
Ikram separa bergurau. Hatinya sedikit terusik apabila Ainul memuji lelaki
lain. Dia dapat mengangak lelaki itulah yang sentiasa bertelefon dengan
adiknya.
“Ainul anggap Rui Zhe abang Ainul juga.
Lagipun dia sebaya dengan abang Am. Abang pula apa cerita? Err… sejak bila
berubah dari penghafaz al-Quran ketika sekolah menengah kepada kasanova
pencabul kalbu gadis ni?” Ainul cuba bergurau. Lebih kepada tukar topik
sebenarnya.
Ikram tergelak kecil. Dia sedikit pun
tidak terasa dengan sindiran Ainul. “Nampaknya melekat gelaran kasanova
pencabul kalbu ni dekat Abang Am ye?”
“Sejak bila? Abang rasa sejak tingkatan
satu kot. Dulu abang, Ijat dan Iqbal pernah ikut pertandingan menyanyi di
sekolah. Sejak tu ramai yang hantar suratlah, mesej dan juga telefon abang di
rumah. Ada juga tu kakak-kakak tingkatan 4 dan 5 mengurat abang.” Jelas Ikram
lebar.
“Abang, Ijat dan Iqbal makin lama makin
terkenal. Sejak tu makin ramai orang suka dengan kita orang.” sambung Ikram
lagi.
Tiba-tiba dia perasan yang Ainul
langsung tidak membalas kata-katanya.
“Ainul? Ainul?” panggil Ikram. Dia duduk
untuk memandang ke arah adiknya yang sudah terlena. Wajah Ainul yang persis
seorang bayi ketika tidur di pandang lembut.
“Tidur rupanya bidadari seorang ni.”
Ikram mengeleng kepalanya. Penat sahaja dia bercakap. Macam bercerita bed time story pula sampaikan Ainul
boleh tertidur. Ikram menarik selimut ke menutupi badan gadis itu lalu sambung
semula baring di comforternya di atas
lantai.
Ikram pegang janjinya. Dia tidak akan sentuh
adiknya sendiri!
0 tukang komen:
Post a Comment
hai comel!
Terima kasih baca & sudi komen.
Nurfazila Suhaide =)