Monday, January 27, 2014

Bukan Orang Ketiga bab 17


Gaun merah Asha dan gaun warna merah jambu Mira dibetulkan lagi. “Comel!” puji Thia. Kamera DSLR dikeluarkan dari beg.
Klik. Beberapa keping gambar dengan aksi-aksi comel Asha dan Mira diambil. Tidak lupa juga gambar Raihan.
Thia pandang jam jenama Casio dipergelangan tangannya. Tidak pasti sama ada mereka yang terlebih awal bersiap atau Zarul yang lambat. Husnuzon. Dia cuba bersangka baik. Tidak mungkin Zarul tipu dan sengaja melambatkan waktu.
Telefon bimbit dikeluarkan. Thia buka aplikasi kamera telefon sambil duduk bersila atas lantai. Tangannya meletakkan kamera di hadapan. “Mari sini dekat sikit dengan mama.” Ujar Thia. Sebelah tangan yang mengendong Raihan diangkat sedikit agar muka Raihan muat di skrin telefonnya.
Asha dan Mira rapatkan muka dengan pipi Thia. Senyuman comel terukir. Klik! Sekeping gambar mereka bertiga diambil. “Sayang, ikut mulut mama...” arah Thia. Dia muncung mulut. Sebelah mata dikenyit. Asha dan Mira terus ikut jejak mama mereka yang kaki kamera itu. Banyak gambar pose mereka bertiga serta Raihan.
“Aih? Kata tak sudi... Ini aku tengok pakai lawa-lawa apa kes?” Ujar Wardah yang baru turun tangga terakhir.
“Awal bangun? Dah aku memang selalu pakai macam ni. Zarul pun tahu. Nanti aku pakai simple, dia lagi fikir aku buat tabiat.” Terang Thia. Dia turunkan pandangan memandang cara pemakaiannya. Tidaklah overdressed sangat pun. Okey saja di matanya.
“Kau tak takut dia cakap kau nak ayat dia ke?” tanya Wardah.
Menjuih bibir Thia dengar. “Zarul tu. Biar aku pakai baju macam lepas kena hempuk dengan tongkang pecah pun dia tetap cakap aku ni nak mengayat dia...” yakin betul Thia dengan tahap tidak suka Zarul padanya. Berapa kali kena sound. Kalau tak sedar diri bukan Thia la namanya.
Tergelak Wardah dengar. “Kau ni macam-macamlah Thia.”
“Betul Wardah. Aku nak cakap Zarul tu fobia dengan perempuan. Macam tak logik juga. Si kak Aqila tu nak letak mana? Tapi entahlah... Agaknya dia fobia dengan aku je kut.”
“Manusia tu kerek saja lebih. Ni janji nak jemput pukul 10 sampai sekarang tak nampak pun batang hidung dia. Saja nak buat orang tertunggu-tunggu. Kalau dia rancang sengaja tak nak datang hari ni. Aku bakar hadiah dia tu.” bebel Thia lagi. Pantang larang dia betul kalau ada orang tidak tepati janji ni. Lebih-lebih lagi orang yang tentukan waktu itu yang lambat.
“Dia ada hal kut. Husnuzon Thia... Husnuzon...” Wardah menyabarkan kawannya yang semakin berasap itu. Sikit masa lagi meletup kepala Thia itu. Dia paling faham perangai mesti tepati masa Thia. Jangan cakap 10 minit. 5 minit pun dia paling tidak suka orang terlewat.
Dari comel ikatan rambut Asha sampai serabut. Kusut masai jadinya. Thia sendiri fed up menunggu. Wardah yang tadinya menemaninya bercerita sampai sambung balik membuta. Jam kini berdetik pukul 12. Kelibat Zarul langsung tidak kelihatan.
Thia pun bukannya sekadar menonong saja tunggu Zarul. Berpuluh mesej tidak dibalas. Apa lagi panggilan. Satu pun tidak berjawab. Memang sah lelaki ini permainkan Thia.
“Ma... lapar...” mohon Mira. Kesian Fiera lihat Mira.
“Mama masak kejap... Mama tak pasti pak su datang ke tak. Kita makan dekat rumah sajalah sayang. Mira duduk dulu. Nanti mama bagi biskut chipsmore.” hancur lebur hati Thia bersuara. Marahnya pada Zarul memuncak. Benci sekali dengannya pun janganlah sampai babitkan budak-budak. Perangai lagi teruk mengalahkan budak kecil!
Sakit hati Thia. Raihan yang diletak atas katil bayi dipandang sekilas. “Mira tengok-tengokkan adik. Mama masak kejap.” Thia pastikan dahulu pintu grill berkunci sebelum masuk ke dapur.
Segala bahan masakan dikeluarkan. Kalau tahu Zarul memang tidak datang, sudah lama dia masakkan untuk Mira dan Asha. Kesian mereka berdua terpaksa berlapar. Zarul pun satu! Buat janji tapi janji telur kosong. Malam tu bukan main lagi kata hendak bawa Asha dan Mira keluar makan. Sampai budak dua ini pun semangat hendak bercantik kerana ingin jumpa pak su mereka.
Sekali pisau jatuh habis kepala ikan dipotong. Dalam kepala tengah berimaginasi tengah tetak leher Zarul. Dengan hati membara-bara Thia memasak.
Thia sekadar memerhati Asha dan Mira makan. Lapar sungguh mereka. Tadi sarapan pun sedikit saja sebab hendak bersiap awal untuk berjumpa dengan Zarul.
“Mama... Pak su datang tak?” tanya Mira sambil mengunyah.
“Mama tak pasti sayang... Kenapa?”
Mira sedikit tunduk. “Mira rindu pak su...” sendu suaranya meluahkan. Thia akui Mira memang rapat dengan Zarul. Tengok saja setiap kali terserempak dengan lelaki itu pasti ada Mira bersamanya. Dan Mira yang paling gembira bila tahu Zarul ingin berjumpa mereka hati ini.
Keluhan kecil dihembus. Lelaki itu langsung tidak menghargai perasaan orang padanya. Cuma tahu jaga perasaan sendiri saja!
“Mira makanlah. Nanti mama cuba call pak su lagi.” Pujuk Thia. Pipi Mira dicuit sedikit. Bunyi hon bertalu-talu di luar rumah Thia buat Raihan yang baru tertidur dipangkuannya merengek.
“Siapa pula manusia terlebih pekak sampai kena hon tak hingga dunia tu.” Marah Thia. Dia berjalan ke luar pintu. Sakit hati Thia tengok kereta yang terparkir depan rumahnya. Telefon atas meja kaca mula berdering. Dia masuk semula untuk menjawab.
“Assalamualaikum...” jawab Thia sebaik saja nampak nama Zarul tertera sebagai pemanggil.
“Waalaikumsalam. Kenapa tak angkat telefon? Jom keluar.” Huh! Sesedap rasa saja dia mengarah. Angin satu badan Thia dengar.
“Saya baru tak angkat telefon sekejap Zarul. Itupun sebab ada orang yang tidak tahu tepati janji. Jadi saya kena masakkan untuk budak-budak sebab mereka dah lapar. Sebab tu saya tak dengar bunyi telefon. Kalau awak nak keluar juga hari ini. Tunggulah sampai Asha dan Mira habis makan! Awak tunggu jelah di luar tu.” panjang lebar bebelan Thia. panggilan terus dimatikan sebaik saja dia habis berceramah.
Padan muka! Minta maaf pun tidak! terus sound aku sebab lambat angkat telefon. Tunggulah kau sampai berkulat di luar.



Dalam nafas dihela. Dalam keterpaksaan Thia terpaksa juga berdepan dengan lelaki itu. Zarul yang sedang melayan Mira dan Asha dipandang. Sebuah kotak hadiah dikeluarkan dari beg barang keperluan Raihan.
“Ini barang yang mak awak kirim tu. Maaflah kalau bunga atas tu terpenyek sedikit.” Kotak itu ditolak atas meja ke depan Zarul.
Zarul yang tengah bersihkan sisa ais krim di mulut Asha angkat kepala. Jelas kerutan di dahi lelaki itu memandang hiasan bunga atas hadiah itu sudah rosak. Thia dipandang dengan tidak puas hati.
Sebelum Zarul mula buka mulut, Thia terlebih awal bersuara. “Kalau awak fikir saya yang rosakkan suka hati awaklah, jujur saya cakap saya ada pasang niat. Tapi bukan sekadar rosakkan. Siap berimaginasi nak baling terus hadiah tu ke lombong.” Sindir Thia. Tidak habis-habis nak fikir aku ni jahat. Hah! Ambik kau...
Zarul sekadar buat muka. Malas hendak perang mulut. Dari tadi asyik sindir menyindir saja kerjanya dan Thia. Sejak bila Thia tahu melawan, Zarul sendiri tidak pasti. Dulu apa saja dia muntahkan, Thia sekadar diamkan diri saja. Sekarang bukan main lagi berdas-das dia balas.
Hadiah tersebut diambil. Bungkusan hadiah terus dibukannya. Seutas rantai dikeluarkan dari kotak hadiah tersebut. “Ini sebenarnya hadiah hari jadi untuk arwah kak Isya esok.” sayu suara Zarul bersuara. Terimbau kenangan bersama kakaknya hingga kini.
Thia berdiam. Termakan ayat sendiri. Ingatkan hadiah untuk kekasih hati dia.
“Sayang pak su. Jaga rantai ni baik-baik ya.” Katanya sambil menyarung rantai tersebut ke leher Mira.
Mira senyum dan mengangguk.
“Saya tahu mungkin bukan masa yang sesuai. Tapi saya nak bincang pasal budak-budak ni. Kalau boleh saya nak minta tolong awak sebab saya nak ambil budak-budak ni anak angkat yang sah dari segi undang-undang.”
“Budak-budak ni masih lagi ada keluarga. Masih ada kami. Perlu ke Nur ambil mereka sebagai anak angkat?” soal Zarul. Dari awal lagi dia tidak setuju Thia ambil anak saudaranya. Dia sendiri tidak lama lagi akan mendirikan rumah tangga. Pasti Aqila akan bersetuju untuk menjaga anak-anak saudaranya.
“Saya tetap akan ambil mereka sebagai anak saya. Sebab ini soal amanah arwah pada saya. Lagipun saya dah dapat kebenaran dari mak dan nenek awak pun.”
“Amanah? Sejujurnya saya tak tahu seikhlas mana awak niat awak untuk pikul amanah arwah kak Isya.” Sinis ayat-ayat Zarul menerpa cuping telinga Thia. Dalam diam Thia menggengam kuat tangannya. Menyabarkan hati yang membahang.
“Maksud?”
Zarul mengeluh. Thia yang duduk berhadapan dengannya dipandang. “Sama ada kerana ingin pikul amanah arwah ataupun sebagai alasan untuk berjumpa dengan saya?”
Ternganga mulut Thia. Ee... rasa hendak hempuk kepala lelaki itu. Perasan!!
“Awak mempertikaikan keikhlasan saya jaga budak-budak ni? Am I right?
Lelaki itu menjongket bahu. “Nur sendiri tahu kita tidak nampak keikhlasan itu. Manalah tahu. Sebenarnya ada niat disebalik keikhlasan yang awak maksudkan. Saya masih nampak perasaan itu Nur, the way you look at me. Pandang itu masih sama... tidak mustahil perasaan itu masih samakan? Saya tak nak awak jaga anak saudara saya itu hanya alasan sedangkan awak tidak ikhlas hendak jaga mereka.”
Sinis senyuman yang terleret dibibir Thia. Hendak menangis dia dengar kenyataan lelaki itu. “Awak betul. Perasaan itu masih ada. Hati ini akan terus cintakan awak saat jantung saya berdegup laju bila bertentang mata dengan awak. Berdebar-debar setiap kali mengingatkan awak...
Dia berdiam seketika. Satu nafas dalam ditarik sebelum Thia kembali bersuara.
“Tapi perlukah awak kaitkan keikhlasan saya hendak menjaga anak-anak saudara awak dengan perasaan saya? Awak tak fikir ke itu tidak ubah seperti pemikiran orang yang tidak matang? Betul saya mengaku. Kita tidak dapat nampak keikhlasan seseorang itu, tapi keikhlasan itu dapat dirasai di sini...” tapak tangan Thia diletakkan atas dadanya.
“Begini sajalah. Awak bawalah Mira dan Asha jalan-jalan. Tinggalkan saya sini... Lagipun Raihan mesti nak tidur. Nanti saya balik ikut teksi saja.” Tawar hati Thia dengan lelaki itu. Marahnya tidak terkata. Perlukah? Perlukah lelaki itu mempersoalkan keikhlasannya?
Zarul mengeluh. Tidak tahu hendak balas apa lagi. Seraut wajah Thia dipandang. Dia tahu Thia marah. Mungkin itu lagi baik. Marahlah dan kalau boleh biarlah Thia terus buang cintanya. Terlalu sia-sia jika Thia menyimpan perasaan terhadapnya sebab mustahil cinta itu akan berbalas. Cinta Zarul hanya untuk Aqila seorang.
“Saya pergi dulu. Nanti saya hantar Asha dan Mira pulang ke rumah awak.”
“Untuk pengetahuan awak. Saya pun sedar diri juga. Saya tengah cuba buang perasaan itu jauh dari saya. Sebab bagi saya awak tidak layak! Tidak layak untuk terus dicintai.” Jeling Thia pada Zarul yang sudah pun bangun dan berpimpinan tangan dengan Asha dan Mira.
Lelaki itu terus saja pergi tinggalkannya tanpa sebarang kata. Thia mengeluh berat sambil bersandar.
“Betul cakap awak Mal. Dia tinggalkan saya...” keluh Thia. Dalam hati bukan sekadar sedih, marah, sakit hati malah makan hati dengan perangai lelaki itu. Berlagak macho seperti orang besar! Tapi fikiran tidak ubah seperti budak terencat akal! Tak pandai hendak menilai keikhlasan orang.
Huh! Kuat Thia mendengus. Marah pula bila fikirkan perangai Zarul yang satu itu.
Telefon dikeluarkan. Nombor seseorang didail. Kena tinggalkan? Kenalah telefon orang itu.



“Rindu aku ke?” tanya lelaki itu sambil tersenyum.
“Tiada maknanya. Duduklah...” Zarul sekadar bagi signal agar Wafiy duduk. Kawannya ambil tempat Asha.  Budak kecil itu terus diangkat lalu Wafiy pangku atas ribanya.
“Monyok saja aku tengok. Ada masalah dengan Aqila ke?”
Zarul geleng kepala. Dia mengeluh kecil, serabut kepala. “Bukan Aqila tapi Nur.”
Berkerut-kerut dahi Wafiy dengar. Zarul ingat dia ni Jabatan Pendaftaran Negara? Biar kerja di JPN pun dia belum ada otak terlebih genius untuk tahu semua orang yang mempunyai nama Nur. “Nur mana pula ni? Nur peah, Nuraisha? Nurrah? Nuraina? Banyak Nur dalam Malaysia ni... boleh kau spesifikasikan cik Nur kau tu?”
“Nurfathiah...” jawab Zarul sepatah nama itu.
“Maksud kau?”
“Thia...”
Wafiy terdiam. Terdetik satu perasaan saat Zarul menyebut nama kawan baik adiknya. Terimbau kembali saat dia menenangkan gadis itu di hospital tempoh hari. “Aku pun lupa nak tanya kau sesuatu. Pasal Thia juga...”
“Aku sakitkan hati dia lagi tadi.”
Wafiy terdiam. Wajah kawannya ditatap. “Maksud kau?”
“Aku selalu sakitkan hati dia. Aku tak nak dia simpan perasaan pada aku lagi. Sebab tu aku selalu marah dia, hina dia. Sekurangnya biar dia bencikan aku dari terus simpan perasasan dia tu... Tadi aku tinggalkan dia... aku tinggalkan macam tu saja.” luah Zarul. Kekadang dia sedar mulutnya terlebih lancang bersuara hingga menguris hati Thia.
“Kau tinggalkan dia?” pintas Wafiy.
“Aku sepatutnya keluar dengan dia dan budak-budak ni. Aku yang bawa sebab nak jumpa mereka ni. Tapi something just happened... Dia suruh aku tinggalkan dia dekat situ.”
“Jadi kau tinggalkan saja dia macam tu? Raihan dengan dia ke?”
Lemah Zarul mengangguk.
“Kau tak patut layan Thia macam tu. Tiada masalah pun kalau dia simpan perasaan terhadap kau. Bukannya dia nak pisahkan kau dengan Qila seperti perempuan sebelum ni. Sekurangnya kau hantar dia balik. Dia tu perempuan. Dengan Raihan pula tu.” Mendengus Wafiy dengan perangai kawannya.
Zarul mengeluh. “Entahlah... aku pun tak tahu nak buat apa.” Kerana takut perkara lama berlaku semula. Thia jadi mangsanya. Zarul sedar dia agak terlebih terhadap wanita itu. Tapi jujur, Zarul takut perkara yang sama berulang. Obses perempuan bernama Airin terhadapnya hingga sanggup cuba pisahkan hubungannya dengan Aqila. Pelbagai halangan yang mereka tempuhi, hingga hampir-hampir terpisah.  Oleh itu, Zarul terlalu takut. Takut jika perangai Thia tidak ubah seperti Airin.
Salah Zarul juga pada mulanya. Dilayan saja perangai Airin. Tapi layanan Zarul tidak ubah seperti layanan seorang abang dan kawan. Kasihnya pada Aqila tidak pernah berubah. Hanya Airin saja yang salah faham tentang layanan Zarul. Tambah lagi waktu itu, Aqila berada di luar negara untuk sambung pelajarannya. Pelbagai helah yang dibuat oleh gadis itu hingga hubungannya bersama Qila tidak ubah seperti retak menanti belah.
Bukan senang Zarul cuba menyakinkan Aqila. Merawat sekeping hati kekasihnya yang terluka. Terlalu banyak air mata dengan apa yang berlaku.
“Zarul... Zarul!!” panggil Wafiy. Mukanya memerah. Panas hati pula dengan Zarul yang tidak ambil peduli dengan nasihatnya. Sempat lagi mengelamun. Teringatkan Nurfathiah ke atau Maizatul Aqila?
Badan Zarul disandar pada kerusi. Mukanya diraup kasar. “Sorry...” hatinya serba salah. Kata-kata Thia tadi masih lagi segar diingatannya. Air muka menahan tangisan itu masih jelas kelihatan. Tapi Zarul tidak mampu. Tidak mampu memujuk Thia kerana takut pujukannya hanya akan menambah perasaan itu dalam hati Thia. Jalan selamat yang mampu terfikir hanya terus jalan tinggalkan Thia.
“Aku nak minta tolong kau telefon Nur. Tanya kalau dia sudah sampai rumah sekarang.” Pinta Zarul.
Dalam mengeluh, Wafiy turutkan juga permintaan Zarul. Nama Thia dicari dari senarai lalu terus didail. Beberapa minit kemudian barulah berjawab. “Assalamualaikum Thia.”
“Waalaikumsalam.”
“Abang Fiy nak tanya Thia ada di rumah ke sekarang?” tanya Wafiy sambil memandang Zarul yang setia mendengar.
“Baru dalam perjalanan nak pulang rumah. Ada apa abang Fiy?”
“Ingatkan nak ajak Thia, Wardah dan Hana keluar. Abang boring. Thia keluar dengan budak dua tu ke?” Pandai Wafiy putar belitkan fakta.
Thia diam seketika. Mungkin tengah fikirkan jawapan Wafiy. “Tak... err... Thia dengan Ekmal sekarang ni.”
“Dating ye...” tersenyum sendiri Wafiy mengusik Intan. Fikiran mula bayangkan pasangan itu.
“Eh! Mana adalah. Abang Fiy ni tuduh sembarang. Ekmal jemput Thia di Mall tadi. Lepas tu hantar pulang. Fullstop.” Laju mulut Thia cuba menjelaskan.
Tertawa kuat Wafiy dengar penjelasan ringkas dan padat dari gadis itu. Sampaikan Zarul yang mendengar tawa Wafiy pun boleh tersenyum walaupun tidak tahu cerita sebenar.
‘Thia... Thia... asal kena kenenkan dengan Ekmal laju saja dia menerangkan situasi sebenar.’ Fikir Wafiy.
“Mana-manalah Thia. Kalau tiada plan malam ni keluar nak tak? Ajak sekali dua orang anak dara di rumah tu.”
“Insya-Allah. Thia tak boleh janji malam ni confirm. Sebab tak elok keluar malam dengan Raihan. Nanti dia masuk sejuk.”
“Keluar makan saja pun. Abang belanja kau orang makan. Boring hujung minggu tiada plan.” Pujuk Wafiy lagi. Kalau dengan Zarul pasti kawannya hendak keluar dengan Aqila pula lepas ni.
“Baiklah. Nanti Thia confirmkan lagi. Nak tanya Wardah dan Hana dulu kalau dia orang tiada rancangan.” Janji Thia dari corong telefon.
Tersenyum Wafiy. Harap dapatlah berjumpa kawan-kawan adiknya. Bukan kau nak jumpa dengan Thia saja ke? Hana dan Wardah tu alasan semata-mata! Hatinya tiba-tiba menyoal diri sendiri. Terus senyuman Wafiy mati.
Mungkin aku hanya ingin tahu keadaan Thia. Ya aku cuma nak pastikan Thia tidak sedih selepas apa yang Zarul buat. Jawabnya. Ego dan tidak tahu perasaan sebenar terhadap Thia. Wafiy, jangan sampai berputih mata sudah!
“Dia on the way balik dengan Ekmal...” umum Wafiy sebaik saja talian dimatikan.
Zarul menghembus nafas lega. Risau sekiranya Thia belum lagi sampai ke rumah. Sekarang ni macam-macam kes berlaku. Bukan kau juga ke yang tergamak nak tinggalkan dia tadi? Kenapa nak risau bagai nak rak pula? Kenapa rasa sedih saat teringatkan wajah Thia tadi? Bertalu-talu soalan muncul dalam kotak fikirannya. Namun dia satu pun tiada jawapan untuk itu.
“Thanks Fiy...” ucap Zarul.
“Cukuplah Zarul. Cukuplah sakitkan hati Thia.”
Zarul memandang kawannya. Dahinya berkerut sedikit. Persoalan dalam fikirannya terus saja ditanya. “Kau suka Nur?”
I don’t know... but I won’t let you hurt Thia anymore.
Terkedu Zarul dengar amaran Wafiy. Dan kini dia dapat rasanya satu permulaan cerita cinta baru dalam diri kawannya.



“Awal balik?” tanya Wardah yang masih lagi berbaju tidur. Kepala dijenguk ke luar pintu. Kelibat Mira dan Asha dicari.
Thia mencebik. Raihan diletak atas katil bayi. “Baliklah. Orang tak ikhlas nak ajak keluar. Aku seribu kali tak sudi.” Katanya sambil duduk di sofa. Kelajuan kipas langsung tidak menyejukkan hatinya yang panas.
“Haih? Angin satu badan pulak?” tanya Wardah.
“Bukan setakat angin. Puting beliung, taufan katrina, gempa bumi semua ada. Tsunami saja belum. Kalau tak dengan Zarul, Zarul tu aku simbah pakai air laut!”
Tergelak kecil Wardah tengok kawannya yang mula mengarut. Adalah kes baru yang berlaku tadi. “Amboi bukan main lagi marahnya. Asha dan Mira mana?”
“Ikut pak cik perasaan bagus tu jalan-jalan.”
“Kau tak ikut sekali pulak?” Soal Wardah lagi. Bukan main bersiap cantik-cantik. Tidak sampai dua jam sudah bertempek macam lempeng hangus depan pintu dengan muka masam.
Thia merengus. “Tak hingin aku. Tak guna punya lelaki. Perasan bagus! Ada ke patut mamat tu tinggalkan aku macam tu je. Pujuk pun tidak... sah-sah salah dia! hish! Geram aku...”
Wardah garu kepala. “Kes kena tinggal la ni. Patutlah keluar dengan orang lain. Baliknya dengan orang lain. Mahu pula Ekmal ambil kau hantar ke rumah.”
“Mana tak mahunya. Semalam dekat ofis dia yang cakap kalau kena tinggal tengah jalan, call je dia. Ni betul-betul kena tinggal. Nasib di restoran. Kalau betul tengah jalan. Aku pecahkan jugak cermin kereta orang tu.” Marah Thia lagi. Dia kemudiannya bangun. Beg tangan diangkat sekali.
 “Aku nak naik atas tukar baju dulu. Tengokkan Raihan kejap.” Kata Thia lagi.
Wardah angguk saja. Tahu si kawan dalam fasa mood tak baik. “Hurm...  aku siapa nak hantar balik ni?” soalnya.
“Esok sajalah aku hantar kau balik. Kalau nak balik hari ni. Minta tolong Hana ke? Suruh abang kau ke ambil.” Balas Thia sambil memanjat satu persatu anak tangga.
“Pulak dah!” garu kepala Wardah dengan perangai Thia.
“Eh! Awal balik?” soal Hana yang berlintas dengan Thia di tangga. Tangannya rancak mengeringkan rambut guna tuala kecil. Apa punya anak dara lambat mandi. Mentang-mentanglah hujung minggu. Semua liat mandi pagi. Seorang masih dengan baju tidur, seorang lagi baru keringkan rambut lepas mandi. Elok sangatlah perangai tu. Jangan sampai terbawa-bawa bila kahwin nanti sudah. Lari suami hidu bau badan!
“Hurm...” jawab Thia ringkas. Tiada mood hendak berbicara. Dia terus saja naik dan masuk ke dalam bilik.
Hana jongket bahu. Malas hendak layan. “Tu kenapa?” tanyanya pada Wardah yang tengah bermain dengan Raihan. Alat kawalan jauh Astro dicapai. Televisyen dibuka. Dia terus duduk di sofa dan mencari siaran yang menarik perhatian.
“Hormon tengah tak stabil. Baik kau jangan kacau.”
Tiba-tiba terdengar seolah seseorang sedang berlari laju menuruni tangga. Wardah dan Hana tercengang seketika melihat Thia. “Lupa nak cakap. Abang kau ajak kita keluar makan malam ni. ”
“Kita?” tanya Wardah lagi. Macam lain saja bunyinya. Sejak bila Wafiy terlebih duit poket hendak belanja mereka makan?
“A’ah. Dia ada telefon tadi. Aku okay je. Korang berdua bincanglah. Kalau korang nak pergi baru aku pergi. Aku naik atas dulu.” Seraya itu Thia naik semula untuk tukar baju. Hurm... best juga kalau keluar malam ni? dapat release tension. fikirnya.


Awak! si comel yang baru habis baca. jangan lupa komen n share ya!

Monday, January 20, 2014

Bukan Orang Ketiga bab 16

“Lesunya muka. Okey ke ni?” soal Ekmal. Thia yang duduk berhadapannya dipandang. Kepala Thia direbahkan atas meja Ekmal. Tidak larat lagi hendak angkat kepala. Mata pun pedih hadap komputer 24 jam.
“Ambil MC sajalah. Pergi klinik. Nak?”
“Tak naklah. Nak rehat kejap. Tumpang meja. Saya nak tidur. Habis waktu rehat kejutkan saya.” Kata Thia sebelum lelapkan mata. Lengan disilang sebagai bantal.
“Bangunlah. Baring atas sofa. Sakit leher tu. Saya pun nak keluar ni. Ada hal dengan abang Eshan.” Barang atas meja Ekmal dikemas. Fail-fail yang bertaburan disusun rapi sebelum keluar dari bilik.
“Saya ikut keluarlah. Tidur dalam surau je. Tak baik pula tidur dalam bilik bos.” Thia mengagahkan juga diri untuk bangun walaupun kepalanya berat. Dahi yang sakit diurut perlahan-lahan.
Blazer yang terpasang dibadan Ekmal dibuka. Dia berjalan mendekati Thia yang masih duduk. Tubuh Thia disarung dengan blazer hitam miliknya. “Awak pakai ni lepas tu baring atas sofa. Tidur! Saya keluar dulu. Jangan risau. Saya kunci bilik sebelum keluar nanti. Jadi tiada seorang pun tahu.”
Thia angkat kepala. Senyuman manis terukir. Dia tidak mampu untuk bersuara ketika kepala masih lagi berdenyut kuat. Ekmal melipat lengan baju kemaja warna biru laut itu hingga ke siku. Kaca matanya dibetulkan. Nampak lebih rileks dan santai.
“Saya keluar dulu. Rehatlah. Kalau tak larat, jangan lupa makan ubat.” Pesan Ekmal sambil tarik lengan lengan baju kurung Thia hingga gadis itu duduk atas sofa panjang. Dia kembali ke meja. Dompet dan telefon dimasukkan ke dalam poket.
Sebelum Ekmal keluar, sempat dia buka zikir alunan terapi diri Hafiz Hamidun dalam komputer ribanya. Biar Thia rasa tenang bila tidur nanti. Ekmal memandang Thia yang sudah tutup mata terbaring atas sofa. Dia terus berjalan keluar dari biliknya. Setelah pastikan kunci bilik terkunci barulah Ekmal beredar.
Lena Thia terlelap dengan alunan terapi diri yang terpasang. Blazer Ekmal dibetulkan. Haruman Hugo Boss masuk ke dalam hidungnya. Rasa serabut dan sakit kepala hilang sedikit demi sedikit.
Lama tidur Thia akhirnya dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu bertalu-talu. Dia memisat mata lantas bangun. Meja Ekmal dipandang. Lelaki itu senyum memandangnya. Ekmal yang sibuk menghadap komputer turut membalas pandangan Thia. Segera Thia membetulkan tudung yang senget.
“Sysshh!! Pura-pura tidur kejap.” Jari telunjuk Ekmal didekatkan dengan mulutnya. Lelaki itu bangun mendekati pintu pejabatnya. Ekmal bagi lagi signal supaya Thia kembali baring dan tidur.
Thia mengangguk. Dia terus saja baring dan tutup mata. Blazer sempat lagi ditarik menutupi badan. Kelam kabut pula jadinya. Dari masih mamai terus segar mata dan fikiran Thia.
Baju kemeja dibetulkan sebelum pintu pejabat Ekmal dibuka luas.
“Ada apa Ramdam?” tanya Ekmal tenang.
Ramdan garu kepala. Takut pula bersuara. Tadi bukan main semangat lagi ketuk pintu Ekmal. Dia pusing belakang sekilas. Rakan sejawat yang lain dipandang.
“Ramdan?” panggil Ekmal lagi.
“Err bos! Saya nak tanya kak Thia ada bagitahu bos tak dia ke mana? Dia hilanglah bos. Pagi tadi dia tak berapa sihat. Kak Raihanah ada telefon tapi telefon kak Thia ada atas meja dia. Orangnya pula hilang, puas kami cari.” Terang Ramdan panjang lebar.
“Jangan risau. Cik akak awak tu ada tidur di dalam. Saya suruh dia rehat tadi. Takut dia pengsan pula.” Ekmal undur ke belakang sedikit. Memberi ruang kepada Ramdan untuk melihat Thia yang baring atas sofa.
Ramdan tersenyum lebar. Dia pandangan muka Ekmal semacam. “Kalau macam tu tak apalah bos. Ingatkan cik puan hilang tadi. Maklumlah bakal isteri tuan besar. Risau juga saya.” Usiknya.
Tak tahu lagi Thia yang sedang tutup mata itu sebenarnya tengah pasang telinga. ‘Habislah awak lepas ni Ramdan. Thia tu bukannya tidur pun.’ Balas Ekmal dalam hati. Dia sekadar senyum pada lelaki itu saja.
“Kalau macam tu saya minta diri dululah bos.” Kata Ramdan sebelum beredar.
Ekmal sekadar mengangguk. Pintu bilik ditutup semula. Dia berjalan ke sofa lalu duduk atas meja berhadapan dengan Thia. “Bangunlah. Budak tu dah pergi pun.” Katanya.
Sebelah mata Thia dibuka. mengintai sedikit pintu sebelum buka kedua mata seluasnya. Dia duduk bersimpuh atas sofa. Blazer Ekmal diletak atas pahanya. Thia juih bibir. “Amboi mulut Ramdan... bukan main lagi.” Ujar Thia sambil betulkan tudung dan bajunya.
“Biasalah budak tu. Awak dah okay? Selalu kerja banyak tidak pula awak sampai nazak macam tadi.” Soal Ekmal risau.
Thia bersandar. Dahinya diurut perlahan. “Kerja banyak tak ada masalah. Otak ni sebenarnya penat...”
“Ada masalah ke?”
Thia tidak menjawab. Sekadar mengeluh.
“Kenapa ni? Nampak besar je masalah.” Lembut suara Ekmal menyoal. Risau jika sesuatu berlaku pada Thia.
Thia buka mata. Dia duduk tegak memandang seraut wajah Ekmal. “Entahlah. Nak cakap besar, tak adalah besar mana pun. Sebenarnya esok kena jumpa buah hati tak jadi tu.”
“Zarul?”
Angguk. Itulah masalah Thia sekarang ini. Zarul! Dia malas hendak jumpa lelaki itu. Nanti mula lagi jiwa kacau.
“Semalam dia call. Nak jumpa anak saudaranya sekali minta barang yang mak dia kirim.” Terang Thia sebelum mengeluh lagi.
Then jumpa sajalah. Habis cerita.”
Tegak badan Thia pandang muka Ekmal. Macam senang saja nasihat Ekmal tu. “Tak tahu lagi ke Mal. Sini sakit jumpa lelaki tu.” Dada Thia ditepuk perlahan.
“Semalam dalam telefon pun sempat lagi dia sindir saya. Sakit telinga dengar... tak faham betul lelaki tu. Seriously tak faham...” sambung Thia lagi.
Tangan Ekmal disilang ke dada serentak dengan kakinya. Tepat anak mata Thia dipandang. “Saya faham. Tapi awak buat tenang saja Thia. Thats the key... Kalau awak terus gelisah macam ni tambahlah Zarul bash awak bukan-bukan. Awak mesti tunjukkan yang awak masih kuat.”
Thia mengeluh. Entah kenapa dia hilang keyakinan diri. Mungkin kerana terlalu banyak berfikir ataupun penat bekerja. Sepanjang minggu ni dia memang sibuk buat kerja-kerja yang tergendala. Pasal barang Zarul itu pun dia hampir lupa. Semalam barulah Zarul telefon minta barang kiriman itu.
“Awak nak saya temankan esok?” pelawa Ekmal.
Kepala Thia digeleng. Rasanya tak perlulah Ekmal temankan sebab Zarul sendiri yang akan jemput di rumahnya. “Dia yang jemput nanti.”
Well... good luck then.
“Huwaa!! Nak nangis lima minit...” jerit Thia dengan suara yang ditahan. Karang ada pula salah sangka kalau dia melalak macam orang gila. Tambah lagi manusia-manusia kepochi di luar sana.
Ekmal tergelak kuat. Jarang nampak Thia sekalut begini. Hanya Zarul saja mampu buat kawannya seorang ini tidak tentu arah. “Nak gula-gula tak?” tawar Ekmal.
“Coklat?” tanya Thia sambil tadah ke dua belah tangan. Bibirnya dimuncungkan ke depan. Muka secomel mungkin ditayang.
Tersenyum Ekmal melihat. Atas kepala Thia diusap seperti anak kecil. “Tahu saja diakan. Nah.” Sebiji Forero Rocher dilempar.
“Sebiji je?” cebik Thia. Kedekut pula Ekmal hari ini. Selalunya kalau dia ada masalah, Ekmal mesti bagi coklat punya. Tadi mesti lelaki itu saja nak uji dengan gula-gula. Macamlah dia tidak tahu.
“Ingatkan nak simpan untuk kisah seterusnya...” usik Ekmal sambil berdiri ke mejanya semula. Satu kontena putih berisi beberapa biji Forero Rocher diambil. Dia angkat dan tunjuk pada Thia. Tersenyum lebar Thia tengok. Gembira dapat benda percuma yang sedap.
Thia membuka pembalut coklat ditangannya sementara Ekmal mengambil tempat di sebelahnya. Kotak coklat diletak atas meja. “Makan coklat jangan sampai sakit gigi, tak pasal-pasal date esok kena cancel.”
“Kalau cancel lagi bagus tak payah jiwa kacau jumpa lelaki itu.” Thia menyua coklat kepada Ekmal. Mulut Ekmal dibuka sedikit. Minta suap! Terus Thia memasukkan coklat tersebut ke dalam mulut lelaki itu. Sebiji lagi dikeluarkan dari kontena, setelah pembalut coklat dibuka kemas. Thia menyumbat coklat ke mulutnya.
Senyap seketika. Tekun mereka menikmati coklat dalam mulut. Kemanisan coklat dapat mengurangkan kegusaran dalam hati. Salah satu ubat terapi untuk merawat rasa sedih.
“Kalau tak sedap hati nak jumpa dia. Biar saya je ganti awak. Nak serahkan barang je kan?”
“Tak. Bukan setakat nak serah  barang. Dia nak jumpa anak-anak saudaranya. Tambah lagi saya nak bincang pasal ambil anak angkat secara sah ikut undang-undang. Mana tahu dia boleh tolong apa-apa sebab dia salah seorang ahli keluarga budak-budak tu.” Terang Thia sambil buka satu lagi pembalut coklat.
Wish you all the best untuk esok. Kalau dia tinggalkan awak tengah jalan just call me.”
Tajam mata Thia tengok Ekmal. Namun bibir nipisya mengukir senyuman. Lucu juga kalau betul-betul kena tinggal. Tidak dapat dia bayangkan hendak buat apa nanti. “Sampai hati doakan saya macam tu! Nanti betul-betul kena tinggal tengah jalan. Awak orang pertama saya cari!”
“Gurau sajalah. Mana saya sampai hati nak doakan awak ditinggalkan tengah jalan.”
Thia tersenyum bila Ekmal tunjuk muka bersalahnya. Blazer Ekmal dilipat kemas. Dia terus letak atas paha lelaki itu. “Saya tahu awakkan goodboy. Thanks. Lena betul saya tidur tadi. Dari pukul 2 tadi sampai jam 4 lebih saya tidur.” Jam dipergelangan tangannya dipandang. Jam berdetik pukul 4.40 petang.
“Jangan sampai malam ni tak dapat tidur pula sebab tidur lama tadi.” Pesan Ekmal.
“Memang plan nak tidur lambat pun hari ni. Kerja banyak tak siap lagi.”
Ekmal bersandar pada sofa. “Jangan kuat sangat bekerja. Awak tu kalau boleh nak semua benda buat sendiri. Kerja-kerja design awak tu berhentilah dulu. Bila tak sibuk baru mula buat balik. Website yang orang minta tolong hari tu pun dah siapkan?”
“Siap lama dah. Pelangan tu pun puas hati. Ikutkan hati memang nak berhenti dulu ambil pesanan. Fokus jaga budak-budak. Mira tu tak lama lagi masuk tadika. Nanti tak terbuat pula. Okeylah. Keluar dulu. Lama bertapa dalam bilik bos ni.” Thia bangun dan betulkan blouse. Nasib hari ini sekadar pakai blouse dan seluar slack. Kalau baju kurung entah apa jadi waktu tidur tadi. Terselak sana sini.
Good luck untuk esok! Pasang perisai tebal-tebal dekat hati awak.” Kata Ekmal sambil berdiri. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar slack.
Thia senyum menoleh belakang. Tangan diangkat buat tabik pada kawannya. “Bukan setakat perisai. Segala jenis tembok saya pasang. Bye and thanks biarkan saya rehat di bilik awak.” katanya sambil melangkah keluar.
Harap-harap bukan tembok transparent saja Mal... keluh Thia dalam hati.
Thia terus duduk atas mejanya. Ramdan yang tersengih disebelah langsung tidak dipeduli. Faham sekali dengan sengihan penuh maksud tersirat dan tersurat.
“Kak Thia!” panggil Ramdan.
Thia langsung tidak toleh memandang si pemanggil. Tangan kanan diangkat. “Talk to my hand.
 “Hehee... best tak dating dengan bos. Tak lama jadi mem besarlah dalam ofis ni.” Usik Ramdan lagi.
Thia berdecit. Ramdan dijeling tajam. Budak lelaki itu angkat bendera putih. Jari diletak pada hujung bibir lalu ditarik. Tanda seperti zip mulutnya sendiri. Tahu takut!
Telefon bimbit atas meja diambil. Ada beberapa pesanan ringkas dan missed call. Semua dari rakan sejawat yang mencarinya tadi. Senarai nama ditekan. Huruf W terus ditekan untuk mencari nama Wardah.
Tanpa berlenggah, Thia terus telefon kawannya. Beberapa minit kemudian barulah Wardah angkat telefon. Tengah sibuk nak kemas meja baliklah tu.
“Assalamulaikum sayang. Ada apa?” salam dimulakan.
“Waalaikumsalam, Wardah kau sibuk ke?”
“Standard la tak lama pukul 5. Sibuk nak balik. Ada apa?” jawab Wardah. Tanggan lincah mengemas barang atas meja. Kan Thia sudah agak. Wardah ini jenis yang punctual bila masuk bab habis waktu kerja. Tiadanya dia nak tunggu lama. Tepat pukul 5 terus cabut!
Sebatang pen Faber Castell diambil dari bekas pen. Thia bermain dengan pen tersebut sambil bercakap ditalian. Dipusing-pusing mengunakan jarinya. “Aku nak minta tolong kau sikit. Aku ambil kau dipejabat? Kau tidur rumah aku malam ni.”
“Penting sangat ke?”
“Pentinglah! Kau sibuk tak ni? Esok ada plan?” soal Thia. Takut mengganggu hari minggu Wardah. Keluarga Wardah ni lain sikit. Selalunya bila masuk hujung minggu ada saja bonding time yang mereka buat.
“Tak. Aku free je. Kau jemput aku baliklah ni?”
“Yup. Aku terus jemput kau. Lepas tu kita balik rumah mak aku dulu. Budak-budak tu ada di sana. Lepas dinner baru balik. Aku malas nak balik terus sebab keluar dari rumah mak aku confirm peak hour... Jalan jammed.”
“Okey. Aku tak kisah pun. Ikut kau jelah...”
“Cantik...” Gembira Thia dengar persetujuan Wardah. Harap kawannya dapat bagi kaunseling sikit malam ni pasal pertemuan dengan Zarul esok. Ekmal yang baru keluar dari pejabatnya singgah sebentar di meja Thia.
“Nak balik dah ke?” tanya Thia. Telefon bimbit dijauhkan sedikit dari telinga.
“A’ah. Okey tak ni? Nak saya hantar balik.”
Thia cepat-cepat geleng kepala. Telefonnya ditunjuk. “Saya nak jemput Wardah lagi lepas ni. Lagipun dah okay.”
Ekmal mengangguk. “Saya baliklah dulu. Kirim salam dekat Wardah. Good luck untuk esok.” Pesan lelaki itu lagi sambil menghadiahkan senyuman manis. Hai Ekmal kalau aku ada hati dengan kau confirm cair satu badan. Kelibat Ekmal terus dipandang. Alpa seketika dengan Wardah yang masih dalam talian.
“Woi Thia!!!” jerit Wardah kuat. Angin bila Thia langsung tidak pedulikannya.
Sorry... sorry.. Ekmal kirim salam dekat kau..” Thia terus lekapkan lagi telefonnya di telinga. Bernanahlah telinganya lepas ni kena bebel oleh Wardah.
“Waalaikumsalam. Kirim salam handsome boy dekat dia.”
Jelas kedengaran suara Wardah terkekek dicorong telefon. Gedik semacam saja Thia dengar. “Amboi kau. Ingat sikit boyfriend nun jauh di sana. Menangis tak berlagu Fahmi dengar. Ekmal pun dah balik dah.”
“Tau jugak kau jeles eh. Tu bos kau dah balik. Kau bila lagi nak gerak? Nanti jalan jammed teruk entah pukul berapa kita sampai rumah mak kau.” Wardah suda mula membebel.
“Iya mak cik. Aku nak kemas barang dulu baru gerak. Nanti sampai aku call kau balik. Bye!
“Jangan lambat tau. Nanti sekat dekat jammed. Alamatnya berkampunglah kita dua dalam kereta.” Pesan Wardah sebelum Thia mematikan panggilan. Dia bukannya penyabar mana pun nak tingkatkan lagi tahap kesabaran dengan kesesakan lalu lintas tahap kritikal waktu peak hour.
“Penting sangat ke apa yang kau nak cakap tu sampai nak kena tunggu di rumah baru cakap?” tanya Wardah sambil pusing stereng kereta. Giliran Wardah ganti pandu kereta Thia. Thia yang duduk mendukung Raihan disebelah dipandang sekilas. Pandang Thia sedang bermain dengan Raihan, rasa seperti kawannya ibu sebenar bayi kecil itu.
Perlahan-lahan perkataan nama Zarul dibentuk ikut bibir Thia. Suaranya langsung tidak terkeluar. “Pasal... Zarul...” Takut Asha dan Mira pasang telinga.
Mata Wardah terbeliak sedikit. “What?!!
Raihan terus merengek dengar suara nyaring Wardah berteriak. “Syysshh...” Berkerut muka Thia menyuruh Wardah senyap. Tangannya digoyang sedikit mendodoi Raihan agar kembali senyap.
“Macam mana boleh ada kaitan dengan lelaki tu lagi?” nada suara Wardah diperlahankan. Dia kembali memandang jalan raya yang diterangi lampu kereta.
Thia hela nafas. “Aku pun tak tahu nak mula cerita dari mana. Sebab tu aku minta tolong kau. Otak ni nak kena kaunseling sikit baru betul. Malam ni aku janji cerita semuanya. Dalam kereta tak sesuai. Ada....” kepala Thia digerakkan ke kanan. Bibirnya turut muncung tunjuk arah belakang.
Wardah mengangguk perlahan.”Aku harap tiada hati yang terluka.”
“Aku pun... Harap luka tidak kembali berdarah.” katanya lalu mengeluh berat. Dada Thia ditepuk perlahan. Senyuman hambar kemudiannya dihadiahkan kepada Wardah disebelah.


Wardah duduk atas katil Thia. Tahap kesetiaan menanti semakin hilang. Thia yang sedang mengurus anak-anak hanya dipandang. “Thia...” panggilnya. Kesabaran Wardah sudah sampai ke kemuncak. Thia hanya tahu buat selamba saja dari tadi sedangkan hatinya sudah digaru untuk mengetahui keseluruhan cerita.
“Sabarlah...” Thia melutut untuk pakaikan Mira dan Asha baju tidur. Bahu mereka ditepuk.
“Jom ikut mama masuk bilik.” katanya sebelum berdiri. Kedua tangannya memaut tangan anak-anaknya.
Seraut wajah  Wardah dipandang. “Aku tidurkan budak dua ni kejap. Kau tolong tengokkan Raihan. Nanti aku datang.” Ujarnya. Dia berpimpinan tangan bersama permata hatinya keluar dari bilik.
“Tarik nafas... hembus... tarik nafas hembus...” Thia ikut segala yang disuruh oleh Wardah. Dicuba sebaik yang mungkin.
Now... tembak semua sekali...”
“Aku mulakan dengan bismillahirahmaniharim....” kedua belah tangan Thia diraup ke muka.
Wardah tergelak kecil. “Kau ni... ada je liatnya. Cepatlah mula. Tadi susah nak cakap sebab sesak nafas nak mulakan cerita. Sekarang ni...”
Tangan Thia terus menerkup mulut Wardah. Haish! Sakit telinga dengan kawan yang kuat membebel ni. “Iyala... aku mula cerita sekarang. Ingat tak aku pernah cerita pasal Zarul waktu perkahwinan Aima tempoh hari? Pasal dia pernah selamatkan aku naik umrah dulu?”
Wardah mengangguk. Masih lagi teringat cerita Thia dulu.
Bibir Thia diketap. Nafas dihela sebelum cerita disambung semula. “Sebenarnya aku kenal dia lama dari tu...” satu persatu diceritakan. Dari kisah mula perkenalan sebagai blogger, luahan perasaan, tingkah naif Thia stalk dan hack akaun Zarul dahulu, pemberian novel-novel Thia, perjumpaan dan janji di Makkah hinggalah situasi di tempat kerja Zarul tempoh hari dan bagaimana Thia hendak bertentang mata dengan Zarul esok.
Terdiam Wardah mendengar. Sesekali disapu lembut bahu Thia yang terhenjut-henjut menangis. “Yang paling aku terkilan, kalau dia percaya aku hari tu. Arwah kak Isya pasti selamat. Teruk sangat ke perasaan aku ni?” persoalan Thia tidak terjawab.
“Sabarlah Thia. Pasal arwah kak Isya. Ajalnya sudah tiba... Sekarang kau jujur dengan aku. Kau masih simpan perasaan dengan Zarul?” soal Wardah lembut.
Thia terdiam. Dia tunduk memandang cadar katil. Raihan yang sudah tertidur dipandang sekilas.
“Thia...” panggil Wardah.
“Aku sayang dia Wardah. Perasaan itu tidak pernah pudar... bukannya aku tidak pernah cuba lupakan dia. Tapi perasaan itu terus saja hadir dalam hati aku.” Katanya sambil menyapu lembut pipi Raihan.
Wardah dipandang semula. Nafas Thia dihela sebelum mula bersuara lagi. “Cinta aku, sayang aku, perasaan aku tidak ubah perasaan childish bagi Zarul. Baginya tidak ubah seperti cinta mengarut. Aku sedar status dia dan kak Qila. Aku tidak cuba rampas Zarul dari kak Qila. Tapi bagi Zarul aku tetap seorang perempuan yang terhegeh-hegeh nakkan dia. Tak faham aku...”
Tersenyum Wardah dengar rungutan diayat terakhir Thia. “Dia takut goyah dengan kau. Sebab kau cun tak? Hahaha...”
Mencebik mulut Thia dengar. “Tiada maknanya. Macamlah kau tak tahu tahap kesetiaan melampau dia tu.”
Senyuman dibibir Wardah jelas kelihatan walaupun kamar tidur Thia hanya diterangi dengan lampu tidur. Pintu pun berkunci. Tak nak Hana masuk sekali ambil port luahan perasaan Thia. Dia masih belum bersedia untuk buka aib atas kenaifan diri dulu. “Habis tu kau nak buat esok?”
Bahu dijongket sedikit. “Sebab tu aku minta tolong kau ni... Ekmal kata pasang perisai tebal-tebal. Boleh pula aku cakap buka sekadar perisai siap dengan tembok-tembok sekali aku buat. Kemain ayat sedapkan diri tu...”
Wait... wait... Ekmal tahu?”
Thia mengangguk. “Dia lama dah tahu. Sejak first time terserempak dengan abang kau dan Zarul dulu.”
“Siot punya Ekmal. Pandai dia simpan rahsia kau. Selain dia siapa lagi tahu?” Rahsia begini besar boleh pula dia simpan sendiri-sendiri. Wajah kacak bos merangkap kawan baik Thia itu terlayar difikirannya. Dari wajah kacak terus terus berubah kepada wajah zirafah. Geram punya pasal!
“Kau jelah. Eh! Aku rasa abang kau pun dah tahu. Agak sajalah. Tapi cerita versi dari mulut Zarul. Tak tahulah apa yang dia cerita pasal aku. Sebab aku perasaan pandangan abang kau lain sikit waktu aku tunggu dia di lapangan terbang tu.” Mata Thia memang tajam waktu itu. Dia tahu Zarul mesti ada cerita sedikit pasal hubungannya dengan Zarul.

“Yang tu nanti cuba korek dengan abang aku. Sekarang kita fikir apa yang patut kau buat esok...”

Awak! si comel yang baru habis baca. jangan lupa komen n share ya!