Tuesday, March 20, 2012

[CERPEN] : Doktor Hati

“Atie yakin dengan keputusan Atie?” tanya Doktor Amran, salah seorang pengarah hospital tersebut yang juga bapa kandung Doktor Hani Atilia binti Amran.
“Insya-Allah Atie yakin ayah…” ujar gadis itu. Dia memandang lelaki yang terbaring lesu di atas katil. Lelaki itu enggan menerima orang lain untuk merawatnya kecuali Atie sendiri. Mungkin sewaktu lelaki itu sedar seminggu lalu, orang pertama yang dilihat di sisinya ialah Doktor Atilia.
Doktor Amran melepaskan keluhannya. Dia pun tidak tahu macam mana hendak mengubah pendirian anaknya seorang ni. “Ayah redha. Kalau Atie nak juga buat. Buatlah… tapi ayah takut ada orang yang terjatuh cinta pula dengan pesakitnya ni.” Sempat Doktor Amran mengusik anak daranya.
“Mana ada! Atie ikhlaslah ayah…” Muncung mulut Atilia dengan usikan ayahnya. Matanya menyorot kepada pesakit yang terbaring ni. Kesian. Itu sahaja yang mampu diucap dalam hati Atilia. Lelaki itu hilang ingatan selepas koma selama sebulan. Lelaki ini mengalami kecedaraan pada otak dalam satu nahas jalan raya.
Kebetulan ketika itu Atilia dalam perjalanan dari kampung neneknya. Mungkin bukan ajal lelaki itu kerana Atilia sempat memberi bantuan. Cuma masalahnya ialah identiti lelaki itu masih lagi tidak diketahui. Yang peliknya di dada akbar pun sudah tertera cerita pasal nahas jalan raya itu. Atilia juga telah berusaha mencari ahli keluarga si mangsa melalui kad pengenalan lelaki yang dijumpai di dalam dompet. Nasib baik dompetnya ada di poket. Kalau tidak sudah tentu hangus sekali.
Tanpa berlengah Atilia memohon orang ramai yang berhenti untuk menangkat lelaki itu ke dalam keretanya. Dia terus menuju ke hospital di tempat dia bekerja.
Doktor-doktor pakar yang menyelamat lelaki ini termasuklah ayahnya sendiri. Namun sejak usai pembedahan yang tersebut Atilia sentiasa melawat lelaki ini sekiranya dia tidak sibuk. Kadang kala dia bercerita dan membantu jururawat untuk membersihkan badan lelaki itu.
“Tengok tu. Belum apa-apa. Dah jauh Atie termenung.”
“Mana adalah ayah… Atie cuma kesiankan dia. Takde seorang pun yang datang jenguk. Lagi pun tak salah kan niat Atie?”
“Tak salah… Ayah bangga dengan Atie. Kita doakan agar dia ingat balik. Atie dah sediakan borang cuti tanpa gaji tu?”
“Alaa… Atie ingatkan Ayah dah sediakan?” rajuk Atilia.
“Ayah pulak? Dia yang nak minta cuti tanpa gaji. Ayah pula yang kena sediakan.” sakat Doktor Amran. Bukan dia tidak tahu Atilia meminta pembantunya menyediakan surat tu bagi pihak anaknya.
“Atie dah minta tolong Kak Yus… Tak kan dia tak bagitahu ayah kot?”
“Adalah sayang. Kak Yus dah buatkan. Ayah dah approve. Bila nak bawa Dzul ni balik rumah?” tanya Doktor Amran lagi. Sebenarnya Atilia merancang untuk memberi rawatan dan jagaan kepada lelaki yang dikenali sebagai Dzul Irfan melalui kad pengenalannya. Memandangkan Dzul tidak mahu mendekati sesiapa kecuali Atilia, dia merancang untuk membawa lelaki ini ke rumah mereka.
“Esok kot. Mak Pah dah tolong sediakan bilik untuk Dzul.”
Doktor Amran mengangguk faham.



“Dzul ini bilik awak ye… awak rehat dulu. Nanti saya datang lagi.” pujuk Atilia.
Dzul Irfan mengambil tempat di bucu katil. “Awak…” panggilnya.
Ermm?
“Awak. Terima kasih sebab bantu saya. Saya minta maaf sebab menyusahkan awak dan doktor Amran.” ujar Dzul Irfan perlahan.
“Takpe… niat saya dan ayah saya ikhlas untuk jaga awak. Lagipun awak masih lagi lemah. Memandangkan pihak hospital dah sahkan awak boleh keluar… kami bawalah awak balik.”
“Tapi…” Dzul mengeluh. Pada mulanya dia memang tidak dapat menerima keadaannya untuk dijaga oleh orang lain. Tapi setelah beberapa hari dia sudah redha menerima hakikat yang dirinya hilang ingatan.
“Tiada tapi-tapi… awak rehat sekarang. Jangan banyak bergerak tau! Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” arah Atilia kemudian berlalu keluar dari bilik Dzul.



“Ayah… bila kak Ami nak balik?” tanya Atilia. Ingatannya kembali mengingati kakaknya yang mengejar cita-cita sebagai seorang pereka fesyen di luar negara.
“Ayah pun tak tak Atie… ayah pun rindukan kakak kamu.” ujar Doktor Amran sayu. Ayah mana yang tidak sayangkan anaknya. Hani Amilia. Anak yang terlalu lincah dan manja. Malah dia selalu lebihkan Amilia dari Atilia. Tapi Amilia enggan memilih jalan untuk menjadi seorang doktor sepertinya. Setiap keputusan peperiksaan Amilia yang diterima memberansangkan berbanding adiknya sehingga Doktor Amran sentiasa melebihkan Amilia.
Malah Amilia mendapat tawaran sambung pelajaran di luar negara untuk mengambil jurusan perubatan tapi anak gadisnya itu senyap-senyap memohon jurusan rekaan. Hancur lebur hati doktor Amran yang selama ini menaruh harapan pada Amilia.
Pada mulanya memanglah dia bangkang. Tapi perkara itu sudah lama berlalu. Lagipun dia sudah dapat menerima kenyataan impian anak. Cuma Amilia saja yang masih lagi dengan rajuknya walaupun setelah bertahun lamanya.
“Sabarlah ayah… kita doakan kak Ami terbuka hati untuk balik jumpa kita semua. Waktu Atie balik hari tu pun nenek ada tanya pasal Kak Ami. Dia pun rindu sangat dengan Kak Ami.”
“Ayah rindukan Kak Ami kamu Atie.” Pada malam Amilia kena marah dan ditampar oleh Doktor Amran. Amilia telah lari dari rumah dengan hanya meninggalkan sepucuk surat sahaja yang menyatakan bahawa dia akan terbang ke luar negara untuk sambung belajar. Rupa-rupanya Amilia telah merancang kesemuanya terlebih dahulu sebelum menerangkan pasal pemohonannya kepada doktor Amran.
“Nanti Atie cuba cari ikhtiar macam mana nak pujuk Kak Ami ye ayah…” pujuk Atilia. Dia sememangnya masih lagi berhubung dengan kakaknya walaupun tidak kerap. Hubungan mereka berdua juga sebenar tidak rapat sangat  memandangkan Atilia agak pendiam berbanding Amilia.



Hampir sebulan lebih sudah Atilia mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga Dzul Irfan. Segala makan minum di urus oleh Atilia. Dia tidaklah perlu menitik beratkan sangat pasal Dzul Irfan memandangkan lelaki itu hanya lupa tentang kehidupannya tapi segala bakat tidaklah hilang begitu sahaja.
“Dzul… minggu depan saya akan mulakan kerja semula. Saya harap awak pandai urus diri awak sendiri selepas ni.”
“Terima kasih sangat sebab Atie sudi jaga Dzul…” ujar Dzul Irfan. Dia membantu Atilia menyiram pokok-pokok bunga di taman mini.
“Sama-sama. Sebenarnya memang impian Atilia untuk merawat dan membantu orang lain macam ayah. Ayah suka bantu orang lain. Bila pesakitnya ada masalah atau kurang duit untuk membiayai pembedahan. Ayah tak teragak-agak untuk bantu mereka.” jelas Atilia.
“Uncle Amran memang baik. Dzul nampak uncle gembira semacam aje dua tiga hari lagi. Kenapa?’ tanya Dzul. Dia sudah membiasakan diri memanggil doktor Amran dengan panggilan pak cik.
Atilia tersenyum.
“Pasal tu. Sebab kakak saya dah nak balik Malaysia. Ayah rindu sangat dengan akak.” Setelah dipujuk oleh Atilia. Akhirnya Amilia sudi pulang, dia Cuma meminta sedikit waktu untuk mengurus segalanya. Hani Amilia akan menetap di Malaysia semula.
Ermm… patutlah uncle gembira aje sejak semenjak ni. Mari saya bantu awak kemas ni.” komen Dzul Irfan. Dia membantu Atlia mengulung paip air lalu meletakanya ke tepi. Mereka mengambil tempat di kerusi yang disediakan di tanam mini tersebut.
“Saya pun rindu dengan kak Ami. ” getus Atilia perlahan.



Surat tawaran sambung belajar ke luar negara kini berada di tangan Atilia. Mungkin dulu inilah impiannya untuk belajar di luar negara memandangkan dia hanya sambung belajar di Malaysia sahaja. Cita-citanya dulu ingin mendapat tawaran sambung ke luar negara dalam bidang perubatan seperti kakaknya tapi malangnya keputusannya tidak sebaik Amilia.
Hati Atilia berbelah bagi. Sama ada dia ingin menerima atau tidak. Ayahnya sudah pun membenarkan dia sambung belajar. Tapi dia masih lagi ragu-ragu untuk meninggalkan ayahnya.
Satu keluhan dilepas. Dia teringatkan Dzul Irfan. Lelaki yang telah mencuri hatinya. Dzul Irfan sekarang tengah nekad untuk mencari kerja. Bosan katanya tinggal dirumah keseorangan memandangkan Atilia telah mula bekerja.
Perwatakan Dzul Irfan menyenangkan membuatkan Atilia tertarik dengannya. Tapi Atilia tidak ingin digelar perigi mencari timba. Mungkin juga Dzul Irfan tunangan atau suami orang lain.
Atilia menyandar di kerusi pejabatnya.“Ya Allah berilah aku kekuatanmu untuk menghadapi segala ujianmu Ya Allah.” Doanya dalam hati.



“Assalamualaikum…” kedengaran seseorang sedang memberi salam. Perbualan Atilia dan ayahnya terbantut. Atilia bangun lalu berjalan menuju ke pintu utama. Dia menyambut salam tersebut dalam hati. Terlihat kelibat seorang wanita yang anggun sedang senyum memandangnya.
“Kak Ami!” jerit Atilia. Dia berpelukan dengan kakak sulungnya.
Amilia kemudiannya berjalan perlahan masuk ke dalam rumah. Air matanya mengalir tatkala memandang wajah ayahnya. Sungguh dia selama ini merindui seraut wajah itu. Amilia berlari lalu berpelukan dengan ayahnya.
“Ami minta ampun ayah… Ami malu untuk balik. Ami malu hendak berdepan dengan ayah… Ami dah lukakan hati ayah…” Jatuh berderai air mata Amilia membasahi pipinya. Dia sangat merindui ayahnya.
“Ayah pun minta maaf sebab tidak faham dengan impian anak ayah… Ami tinggal sini dengan kami yaa…” mohonnya.
Amilia mengangguk. Dia memeluk sekali lagi tubuh ayahnya.
“Ami sayangkan ayah… Ami tak sanggup tinggalkan ayah lagi.”
“Ami rehatlah… malam nanti ayah nak kenalkan ami dengan anak angkat ayah… dia takde sekarang sebab keluar. Nanti ayah suruh Mak Pah sediakan makanan kegemaran Amilia.”



Bising ruang makan dengan celoteh Amilia bercerita itu ini tentang kenangan dan pengalamannya. Sikap Amilia yang ceria dan periang memeriahkan lagi rumah yang selama ini sunyi.
“Ayah! Mana anak angkat ayah? Ami tak nampak pun?”
“Ada tadi. Dia masuk kata nak solat kejap. Waktu tu dia balik. Ami masih dalam bilik tadi.” Jelas doktor Amran.
“Dia tu siapa ayah? Bakal suami Atie ke? Siapa nama dia tu?” sempat lagi dia menyakat adiknya.
“Mana ada! Dia cuma bekas pesakit adik aje. Atie kan dah cerita dekat akak tadi.” pintas Atilia.
Dzul Irfan menuju ke ruang makan. Langkahnya terhenti untuk memberi salam.
“Hah! panjang umur. Ami kenalkan ni Dzul… Dzul duduklah.”  Doktor Amran memperkenalkan Dzul.
Amilia menoleh kepada lelaki yang baru sahaja dikenalkan oleh ayahnya. Sudu di tangannya terlepas akibat terkejut memandang wajah lelaki itu. Tiba-tiba dia berdiri tegak memandang tepat ke wajah lelaki tersebut.
“Dzul Irfan?” Satu nama terpacul dari bibirnya.



Patung beruang kesayangan pemberian arwah ibunya dipeluk. Atilia menangis dalam gelap. Apa yang harus dia buat? Hatinya sedih… tidak sangka lelaki yang dia sayangi rupa-rupanya kekasih kakaknya yang hilang secara tiba-tiba.
Satu kejutan atau kebetulan. Amilia telah menceritakan segalanya. Kononya Dzul Irfan hilang secara tiba-tiba. Amilia terus menghubungi ibu bapa Dzul Irfan yang sebenarnya menetap di luar negara. Patutlah selama ini tiada seorang pun yang mencari Dzul Irfan kerana semua ahli keluarganya tinggal di luar negara.
Tapi buat apa Dzul Irfan pulang ke Malaysia tanpa pengetahuan sesiapa? Tetiba sahaja persoalan itu muncul di kepala Atilia.
“Dua kekasih bertemu kembali… walaupun bagaimana pun terpisah Adam akan tetap bertemu dengan Hawanya…” getus Atilia sendirian.
Perlukah dia mengalah? Atilia kini memerlukan seorang doktor… doktor yang boleh merawat hatinya agar melupakan lelaki bernama Dzul Irfan. Dalam masa dua atau tiga hari lagi ibu bapa Dzul Irfan akan datang untuk bertemu dengan anak mereka.
Sudah tentu hubungan Amilia dan keluarga Dzul Irfan rapat. Kalau tidak masakan mudah saja Amilia bercerita dengan orang tua Dzul Irfan di talian tadi.
Dzul Irfan? Wajah lelaki itu seakan-akan bingung apabila mengetahui perkara sebenar tadi. Dia akan berjumpa dengan keluarganya semula.



“Kenapa Dzul datang jumpa Atie?” tanya Atilia. Dzul Irfan kini tinggal di rumah ibu bapanya di Malaysia. Malah mereka sekeluarga turut menetap di Malaysia juga sehingga Dzul Irfan selamat diijab kabulkan dengan Hani Amilia.
“Tiada… Dzul saja nak jumpa dengan Atie.”
“Atie harap Dzul gembira dengan kak Ami.” ucap Atilia walaupun hakikatnya dia sendiri terluka dengan kata-kata sendiri.
Dzul Irfan mengeluh.
Honestly, Dzul keliru. Semua ni berlaku secara tiba-tiba… Dzul keliru dengan perasaan Dzul. Ingatan Dzul tak dapat lupakan Atie tapi Dzul rasa lain bila pandang mata Ami. Dzul tak tahu nak cakap macam mana…”
“Bila awak pandang mata kak Ami, awak pegang hati awak. Kemudian awak akan tahu siapa dia di hati awak. Saya hanya kenangan awak Dzul. Sebagai perantaraan dugaan cinta awak pada Kak Ami.” Tenang saja Atilia menerangkannya. Mungkin juga dia sudah dapat terima kenyaatan.
Cinta tidak semestinya memiliki. Kadang-kadang kita perlu lepaskan…
“Tapi…”
“Percaya hati awak Dzul. Kerana dia tidak pandai menipu. Jangan keliru dengan ingatan dan bayangan minda. Kerana ia hanya membuatkan awak keliru.” jelas Atilia lagi.
Satu hembusan keluar dari mulut Atilia. Dia cuba untuk menyakinkan Dzul Irfan sedangkan hatinya semakin parah dengan kata-kata sendiri.
“Apa-apa pun Atie doakan kebahagian Dzul. Semoga Dzul yakin dan pasti dengan cinta Dzul dengan Kak Ami.”
“Jangan lupa tau! Korang tu bakal berkahwin. Pinangan keluarga Dzul semalam dah diterima oleh akak dengan restu ayah.”
“Terima kasih Atie.”



Sampul surat di dalam laci meja dikeluarkan. Atilia akan buat keputusan tepat. Dia akan balik pada rancangan awalnya untuk sambung pelajaran. Itu juga pesanan ayahnya yang memahami hatinya.
“Ayah harap Atie dapat terima kenyataan ini. Kadang-kadang cinta tidak semestinya memilik. Ayah doakan Atie akan kecapi bahagia nanti. Lupakan Dzul… mungkin dia bukan jodoh Atie.” pujuk doktor Amran. Dia memberi kekuatan kepada Atilia. Berharap agar Atilia dapat merawat hatinya yang sedih.
“Terima kasih ayah… Atie cuba cari seseorang doktor untuk merawat hati Atie…” gurau Atilia untuk menyenangkan hati ayahnya.
“Ayah doakan Atie jumpa doktor hati itu suatu hari nanti.”
Atilia mengemas semua barang di dalam pejabatnya. Sudah tentu dia akan merindui bilik yang menjadi tempat dia bertugas selama ini.
Semua barang selesai dimasukkan ke dalam kotak. Lagipun barangnya sedikit saja. Hanya sebuah kotak kecil untuk mengisi barang-barangnya. Atilia melangkah keluar dari pejabatnya. Dia akan teruskan rancangannya untuk mengubat hatinya.



Ketika Atilia keluar dari pintu utama hospital dia dikejutkan dengan satu panggilan. Langkahnya terhenti. Dia menanti lelaki yang sedang menuju ke arahnya.
“Betul ke apa Dzul dengar? Atie yakin dengan keputusan Atie?” tanya Dzul Irfan.
“Atie yakin Dzul. Inilah impian Atie.”
“Habis Dzul macam mana? Atie nak tinggalkan Dzul?” tanya lelaki itu lagi.
“Awak! Tolonglah terima kenyataan. Cukuplah! Awak tolonglah terima Kak Ami. Cintanya utuh untuk awak tau tak?” marah Atilia.
Dia meninggalkan Dzul Irfan.
“Atie…” kejar Dzul Irfan.
Stop It! jangan kejar saya lagi… tolonglah demi saya. Awak jangan jumpa saya lagi!” Atilia berlari meninggalkan Dzul Irfan.
Bunyi hon mengejutkan Atilia ketika hendak melintas. Dia kaku memandang Mazda yang semakin dekat. Kakinya tidak dapat mengelak. Tiba-tiba Atilia merasakan badannya ditolak ke tepi. Atilia menerkup mulut memandang Dzul yang terbaring di jalan.
“Ya Allah selamatkanlah dia…”



Mereka semua memandang Dzul Irfan yang terbaring di atas katil. Hani Amilia setia duduk di sisi kekasihnya. Tangan Dzul dipegang.
Doktor Amran yang berdiri di tepi Atilia memeluk bahu anaknya seolah-olah dia sendiri merasa apa yang Atilia rasa.
“Insya-Allah dia selamat.” bisik Doktor Amran ke telingga Atilia. Ibu bapa Dzul juga berada di dalam bilik tersebut. Doktor telah sahkan bahawa Dzul Irfan tidak mengalami kecederaan serius.
Tangan Dzul Irfan tiba-tiba bergerak. Mulutnya terkumat-kamit memanggil nama seseorang.
“Hani…” Walaupun perlahan tapi mampu di dengar buat semua orang yang berada di dalam bilik tersebut.
Mata Dzul Irfan terbuka perlahan-lahan. Dia memandang wajah semua orang.
“Dzul…” ujar ibu Dzul Irfan.
“Ibu… Dzul nak jumpa Hani…”
“Dzul dah ingat?” tanya wanita itu lagi.
Dzul mengangguk.
“Dzul? Hani sini…” Hani Amilia yang berada di tepinya sudah menitiskan air mata. Hani ialah nama yang di panggil oleh Dzul Irfannya sebelum dia hilang ingatan.
Atilia juga turut mengalir air mata. Bezanya dia megalirkan air mata kesedihan. Orang pertama yang dicari setelah sedar oleh lelaki itu bukanlah dia tapi orang lain. Sekali lagi ayahnya memberi kekuatan kepadanya.



Beberapa kali Atilia membaca surat tawaran di tangannya. Beberapa minit lagi dia akan bertolak ke Amerika untuk sambung belajar. Majlis resepsi Amilia dan Dzul Irfan akan berlangsung hari ini. Amilia tidak merajuk atau marahkan adiknya. Dia juga faham niat Atilia untuk sambung belajar.
Sudah cukup Atilia bertahan semasa majlis akad nikah kelmarin. Hatinya luka parah tatkala Dzul Irfan dengan melafazkan akad nikah dengan lancarnya mengesahkan bahawa dia dan Amilia kini sah sebagai suami isteri.
Surat tawarannya terlepas dari gengaman. Lemah betul badan Atilia kini. Dia merinduikan suami kakaknya sendiri. Dia perlu lupakan lelaki itu.
“Cik… surat awak terjatuh.” Seorang lelaki yang duduk berhadapan dengan Atilia menyerahkan surat tersebut kepada Atilia.
Atilia mengesat air matanya.
“Terima kasih…”
Harvard Univeristy?” tanya lelaki itu.
Atilia mengangguk. “Medic.” jawabnya lagi.
Same with me. Tapi saya dah tahun kedua.” sambung lelaki itu ramah.
“Owh… saya baru nak jejak sana pun…”
“Saya Fareez Aniq. Panggil Fareez.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
“Hani Atilia… panggil Atie je.”
Nice name… sebiji nama mama saya…” ujar Fareez Aniq.
Atilia terketawa kecil. Ingatkan puji namanya. Rupa-rupanya sama dengan nama mak lelaki itu.
Fareez tersenyum memandang gadis yang terketawa kecil di hadapannya. Matanya melirik pada wajah Atilia yang sedikit ceria. Tadi gadis itu termenung jauh sehingga dia langsung tidak perasaan yang dia sudah lama diperhatikan oleh Fareez. Wajah Atilia seolah-olah menyimpan seribu satu kesedihan. Fareez seolah-olah ingin mengubati sekeping hati Atilia yang seperti parah dan hancur.
Hatinya sebenarnya terpikat walaupun baru sahaja berjumpa dengan Atilia. Harapnya agar Atilia sudi menerimanya walaupun mereka baru sahaja berjumpa. Dia ingin mengenali dengan lebih lanjut seraut wajah yang berada di hadapannya.
Cinta tidak mengenal usia dan waktu. Ia hadir tanpa di pinta apabila Adam sudah bertemu dengan Hawanya. Tidak perlu tempat yang romantik, situasi yang manis ataupun permandangan yang indah. Asalkan dua hati sudah bertemu, segala duka mampu menjadi suka. Segala pahit boleh menjadi manis.

TAMAT.

Awak! si comel yang baru habis baca. jangan lupa komen n share ya!

5 comments:

  1. nice!! keep it up faz :)....

    ReplyDelete
  2. sedihnya.
    dpt rasa kekecewaan atie. :(
    hahaha faz, buat la sambungan..
    kisah atie n fareez
    :D

    ReplyDelete
  3. tenkiu >,<!
    kalau ada masa faz sambung yaa..sekarang tak kot...hehe=)

    ReplyDelete
  4. sedihnye bce.. btw best n cepat2 la smbg

    ReplyDelete
  5. nice story..... love it...
    tapi lau boleh... cite lah skit reaksi kakak atie... lepas kakak dia tahu yang atie pun pena suka kat abang ipar dia....tp apa2 pun.... cite ne best.... nampak jalan crita ne lagi matang....^^

    ReplyDelete

hai comel!
Terima kasih baca & sudi komen.

Nurfazila Suhaide =)