Wednesday, September 16, 2015

[CERPEN] : Pujuk Hati Dia




“Hari ni kau kena juga bagitahu aku.”
“Bagitahu apa?” tanya Kayla. Sengaja berpura-pura tidak faham.
“Kayla! Kau tahu maksud aku. Aku tak kira. Hari ni aku nak dengar semuanya. Kalau tak aku tak benarkan kau masuk ofis hari ni.”
Kayla mengeluh. Yana mula guna kuasa veto sebagai bos. “Kay. Aku tak sanggup tengok kau macam ni Kayla. Serupa zombi tahu tak! Kau kawan aku. Aku tak suka tengok muka kau macam ni.”
Air mata Kayla mengalir. Makin laju jatuh membasahi pipi. Buat sekian kalinya air mata mengalir setelah lama menanggung rasa sakit. Terharu dengan keprihatinan satu-satunya kawan baik selain Johan.
Giliran Yana pula berdiam diri. Memberi ruang pada Kayla untuk melepaskan segalanya. Biarlah Kayla menangis dari terus simpan air matanya.
“Aku nak minta cerai Yana.” umum Kayla.
Bulat mata Yana mendengar. Tidak percaya. “Apa dah jadi sampai nak minta cerai ni Kay? Tidak sampai dua tahun kau dan Johan kahwin.”
Kayla keluh. Air mata dikesat. Pedih hati menutur sesuatu yang dia sendiri tidak impikan sebelum berkahwin dengan Johan.  Betul tu tidak sampai dua tahun pun dan dia akan bergelar janda. “Aku terseksa Yana. Aku tak sanggup lagi.”
“Kayla…”
“Dia tuduh aku guna-guna dia Yana. Aku ingatkan dia bahagia. Kau nak tahu. Aku sediakan bekalan untuk dia setiap hari, tapi apa dia buat tambah sakitkan hati aku. Dia buang makanan tu Yana. Selama ni aku ingatkan dia habiskan makanan tu. Rupa-rupanya waktu di pejabat. Dia buang makanan dalam bekas tu. Sampai hati dia…” Air mata Kayla jatuh lagi. Menangisi pada suami yang menuduh dia guna-gunakan lelaki itu.
“Astaghfirullah. Atas sebab apa dia tuduh kau buat macam tu?” suara Yana naik satu oktaf.
Kayla geleng kepala. Tidak tahu langsung.
“Kau dah kenal dia lama Kay. Mustahil kau tak tahu. Dan aku lagi tak percaya dia tuduh kau macam. Sebab arwah mama kau kan?”
“Kau nak tahu. Sekarang dia rapat dengan Reen. Keluar bersama, makan bersama. Silap-silap tidur pun bersama. Hari-hari keluar dating. Aku sendiri pernah nampak. Entahlah. Dulu dia yang pikat aku, dia yang kejar aku. Minta kahwin dengan aku… Pasal arwah mama, aku rasa betullah. Aku ada juga dengar budak ofis dia cakap pasal tu. Tapi aku sengaja tak nak percaya… sebab aku percayakan dia.”
“Boleh tak aku nak cakap kau dungu. Suami kau dah tuduh kau macam tu kau boleh buat derk saja? Sah-sah la dia yang cakap dengan budak-budak tu pasal arwah mama kau. Cuma aku, Johan dan kau saja tahu pasal arwah mama kau!” bebel Yana lagi.
“Yana, dulu waktu aku dipinggirkan sebab cerita pasal arwah mama tersebar. Dia orang pertama yang datang dekat dengan aku. Dia seorang saja yang tak percaya cakap orang lain sebab tu aku percayakan dia. Tapi entahlah. Kekadang kepercayaan itu makin luntur. Hati aku masih sakit lagi bila dia buat aku macam ni.”
Yana mengeluh. “Sejak bila kau tahu perkara ni?’
“Enam bulan lepas.”
“Enam bulan lepas dan kau baru cakap dengan aku sekarang. Kayla Arissa!” bentak Yana yang mula angin dengan kebisuan Yana menyembunyikan masalahnya.
“Dia dah kenal aku bertahun Yana. Aku difitnah tapi dia langsung tidak percaya. Malah tuduh aku macam tu sekali! Hati aku sakit! Sakit sangat dengan perangai dia. Aku benci diri aku. Aku benci sebab jatuh cinta pada Johan. Aku benci diri aku sebab terima dia sebagai suami…” luah Kayla dengan tangisan yang semakin kuat.
Yana pindah tempat sebelah Yana. Bahu kawannya dipusing. Badan wanita itu yang semakin kurus dipeluk erat. Belakang Kayla diusap lembut. “Sysshh… tak guna kau nak tanggung sakit sendiri Kay. Biarlah. Kalau Johan abaikan kau. Biar aku jaga kau. Kau kawan baik aku. Aku tak suka dia buat kawan aku macam ni.”
“Agaknya lepas aku mati baru dia nak percayakan aku.” tutur Kayla yang masih dalam pelukan kawannya.
Segera pelukan dileraikan. “Apa kau cakap ni Kay?”
Kayla tersenyum kecil. “Kalau aku mati. Kau uruslah pengebumian aku. Itupun entah-entah kau saja yang datang dan urus mayat aku.” Dia tergelak kecil. Cuba bergurau untuk menenangkan hati yang masih sakit atas perbuatan suaminya.
Yana tampar lengan Kayla. “Kau jangan nak berani cakap macam tu lagi kalau tak nak aku jahit mulut kau tu.” bebelnya.
Kayla tergelak kecil. Lucu pula tengok muka bengang kawannya. “Gurau saja pun. Aku nak gelak ni. Lama sangat jadi zombi sebab Johan. Silap hari bulan boleh gila.”
“Kau bergurau benda yang tidak menarik langsung okay! Jom. Kita jalan-jalan tenangkan fikiran kau.”
“Masuk ofis la. Kerja aku banyak.”
Yana geleng kepala. “Sekarang aku bos. Dengar cakap aku.” arahnya tegas. Hari ni dia nak  temankan Kayla. Kalau boleh biarlah Kayla gembira dan lupakan Johan hari ni.


“Betul ke apa yang kita dengar tu Han?” tanya Adi.
Johan yang masih berdiam diri mengeluh. Tunduk merenung gelas yang sudah kosong. Isterinya dan Yana langsung tidak perasankan kelibatnya di sebalik dinding bersebelahan dengan meja mereka.
“Han kau dengar tak aku tanya ni?”
Johan angguk. Lemah.
“Sampai hati kau Han. Enam bulan kau abaikan dia? Kau tak percayakan isteri kau sendiri? Dia kawan baik kau sebelum ni Han. Sampai hati kau…”
“Lebih dari tu Adi. Aku dah mula abaikan dia tiga bulan sebelum tu lagi. Enam bulan tu sejak dia tahu.”
Adi mengucap panjang. Tidak sangka Johan sanggup abaikan isterinya begitu lama. “Aku tak nak cakap lebih-lebih Han. Kau lagi kenal Kayla lebih dari sesiapa. Macam yang Kay cakap tadi. Sebelum ni kau juga yang pikat dia, kau juga yang buat dia jatuh cinta dan setuju kahwin dengan kau. Pesan aku satu saja, kalau kau dah tak nakkan Kay. Ceraikan dia dari biarkan dia terus terseksa macam tu. Kalau kau masih sayangkan dia, minta maaf dari Kay dan perbaiki perkahwinan kau semula.”
Johan hanya tersenyum kecil. Hatinya mula bercelaru dengan keputusan yang dibuat. Ceraikan Kayla? Mendengar tangisan isterinya tadi buat hati kecilnya turut merasa sakitnya. Selama ini Kayla tidak pernah pun tunjuk kesedihannya pada Johan walaupun diabaikan begitu saja.
‘Erm… macam mana nak tahu kau sudah berapa lama kau biarkan dia. Tengok muka Kayla tu dalam sebulan ni pun tidak sampai 10 kali.’ Hati kecilnya memerli diri sendiri.
“Agaknya lepas aku mati baru dia nak percayakan aku.” Suara Kayla kembali terngiang-ngiang di kepala.
Gulp! Hati mula gusar.


Pintu bilik isterinya dibuka. Kaki berjalan dekat dengan katil si isteri. Bibir tersenyum kecil memandang wajah Kayla yang lena tidur diulit mimpi. Johan duduk di birai katil. Mata masih memerhati seraut wajah isterinya.
Keluhan kecil dihembus.
Hati tidak tenang ingatkan kata-kata isterinya. Johan dapat rasakan Kayla tidak bergurau pasal kematian tadi tu. Wajah isterinya semakin mencengkung dan pucat. Lama sungguh dia tidak menatap wajah Kayla.
Mata Johan meliar sekitar bilik tetamu yang dihuni isterinya. Mata terhenti pada ubat-ubatan atas meja. Sah Kayla sakit. Pandangan kembali pada seraut wajah Kayla.
“Salah abang…” Air matanya menitis.  Mula menyesali salah sendiri. Nanar dengan perbuatan sendiri. Namun Johan tidak sanggup hendak berpisah dengan isterinya. Kayla segala-galanya buat Johan. Bodoh sungguh kerana ambil masa berbulan-bulan untuk sedar silap sendiri. Sepatutnya dia lebih mempercayai Kayla dari orang lain. Dia kenal Kayla sejak kecil, dia yang lebih mengenali Kayla dari sesiapa pun.
Rambut isterinya diusap perlahan. Sungguh dia rindu seraut wajah itu. Menyesal sekarang pun tak guna. Kayla terlalu bencikan dirinya. Harap sangat si isteri dapat menerima dirinya semula. Bukan sehari dua dia abaikan isterinya. Tapi berbulan lamanya!
Sedar tidurnya terganggu. Kayla celik mata perlahan-lahan. Mengantuk tapi rimas dengan tidur yang terganggu. Keluhan kecil dihembus saat mata bertembung dengan pandangan suaminya.
“Abang nak apa?” Serak suara Kayla itu bersuara. Penat berjalan seharian tidak hilang lagi. Sekarang Johan pula munculkan diri setelah sekian lama abaikan dirinya.
“Maafkan abang, sayang.”
Kayla tersenyum. Sinis. “Keluarlah. Saya nak tidur.” ujarnya sebelum berpaling dari Johan. Mata ditutup semula.
Kecewa Johan dengan reaksi isterinya. Pangilan diri yang bertukar ‘saya’ menambahkan lagi jarak antara mereka. Tapi hati harus bersedia dengan segala respon Kayla. Dia patut bersabar sebab dia sendiri yang cari pasal kerana abaikan Kayla. Johan berdiri lalu berpusing untuk naik atas katil isterinya. Badan direbah pada atas katil, bersebelahan dengan Kayla pada ruang yang agak luas.
Sekujur tubuh isterinya dirangkul erat. Mata Kayla dibuka semula. “Apa abang buat ni?” tanyanya sambil menolak lembut badan Johan jauh dari dirinya namun tidak berhasil. Lelaki itu semakin kemaskan pelukannya.
Sysshh… tidurlah.” arah Johan yang mula menutup mata. Hilang penat, hilang resah sepanjang hari ini. Hanya ketenangan saja tinggal dalam hatinya.
Dan akhirnya Kayla menangis dalam diam. Pelukan suami, walaupun erat tapi tidak mampu mengerakkan hatinya untuk memaafkan tingkah si suami.
Terlambat abang… sudah terlambat…


Azan subuh mengejutkan Kayla dari tidur. Dahi yang masih berdenyut diurut perlahan sambil badan diangkat bersandarkan kepala katil.
Morning sunshine…” terngiang suara suaminya berucap.
Mata yang dibuka kecil tadi dibesarkan.
“Sayang boleh solat?” Johan bersuara lagi sambil tangan mengeringkan rambut yang masih basah. Bangun pagi tadi terus ke tandas mandi, sebab bangun saja terus badan rasa lekit. Semalam balik terus masuk bilik isterinya dan tertidur.
Kayla tidak menjawab. Tangan yang mengurut dahi tadi dijatuhkan. Anak mata masih lagi memandang seraut wajah ceria itu. “Abang dah kenapa?” tanyanya sekali lagi pada lelaki yang telah memulaukan dirinya sejak beberapa bulan lepas.
Satu senyuman ikhlas dicalit pada wajah si encik suami yang bekerja sebagai peguam itu. Johan duduk di birai katil berdekatan dengan isterinya. Satu kucupan hinggap pada dahi Kayla. “I miss you sunshine.
Serta mera wajah pucat Kayla bertukar kemerahan. Terkejut pun ada pada tindakan diluar jangkaannya itu.
“Sayang blushing...” ucap Johan dengan senyuman kecil. Seperti biasa sayang… seperti biasa wajah awak merah jika dahi itu dikucup.
Kayla mengeluh kecil. Panahan mata Johan dibalas. “Saya tak boleh solat. Abang solatlah.”
Giliran dahi Johan pula berkerut “Habis tu kenapa sayang bangun awal?”
In case abang terlupa. Saya memang bangun awal walaupun tak boleh solat. Abang solatlah. Saya nak sedia sarapan.” beritahu Kayla dengan suara senada. Selimut yang menutupi badan ditolak ke tepi. Bersedia untuk turun katil.
Tangan Kayla ditarik. “Abang ingat sayang… tapi sayangkan tengah sakit.”
Kayla pandang lengannya yang masih digenggam oleh Johan. “Saya dah biasa…” Genggaman itu cuba dileraikan tapi dengan tenaganya yang terlalu lemah. Gengaman tangan Johan langsung tidak dapat alihkan.
Please sayang…”
Kayla mengeluh. “Saya minta maaf kalau derhaka. Tapi saya…”
Laju kepala Johan digeleng beberapa kali. Memintas ayat yang menghimpit jiwanya. “Sayang tak pernah derhaka. Sayang tak pernah salah. Semua salah abang… abang yang bodoh, tak sedar diri. Maafkan abang sayang.. maafkan abang. Izinkan abang pujuk hati sayang.”
Air mata Kayla mula menitis mendengar kata-kata suaminya. Dia menerkup mulut lelaki itu dengan telapak tangannya. Terdiam Johan seketika dengan tindakan si isterinya.
Kayla turunkan tangannya. “Abang pernah rebut hati saya, pikat hati saya tapi abang juga yang buang hati tu. Maafkan saya. Saya dah tak sanggup… saya tak cukup kuat. Cukuplah apa yang saya lalui.”
Apabila rasa pegangan tangan Johan pada lengannya semakin lemah. Kayla terus menolak pegangan itu dan keluar dari biliknya. Dia tidak cukup kuat untuk melihat wajah Johan. Hati yang tidak pernah dihargai tidak perlu dipujuk kembali.


“Sayang…” panggil Johan.
Kayla tidak berpaling. Muka masih lagi sembab dengan air mata. Terasa erat pinggangnya dipeluk oleh Johan.
Kurus. Johan dapat bezakan perbezaan badan isterinya dulu dan sekarang. Sayang sakit apa? Ingin saja dia menyoal. Tapi Johan sedar sekarang bukan masa yang sesuai. Dagu diletak atas bahu isterinya.
“Abang cintakan sayang…”
Makin deras air mata Kayla mendengar ucapan itu. Ucapan yang hilang dari bibir suaminya sejak beberapa bulan lepas.
“Abang nak lancar misi…”
Kayla masih lagi kaku berdiam diri.
“Misi pujuk hati dia. Sebab abang bodoh tak reti hargai hati dia, sebab abang abaikan dia… yang penting. Sebab abang sangat mencintai dia.”
“Lepas tu apa? Misi hancurkan hati dia semula?” balas Kayla.
“Kayla…”
“Sebab hati dia sudah remuk abang, hati dia sudah hancur lumat… sebab…” tutur si isteri lagi tanpa menghiraukan panggilan suaminya
“Sebab abang tahu dia masih ada sisa cinta dan percaya pada abang…” pintas Johan sehingga Kayla mengambil keputusan untuk berdiam diri.


Tepat pukul 11 pagi pesanan ringkas dari Johan mengarahkan Kayla ke pintu utama rumah mereka pasti tiba. Sejambak bunga ros, Royal Chocolate cake dan segelas Amaricano dari The Coffee Bean And Tea Leaf atas lantai depan pintu.
Kayla tunduk mengambil jambangan bunga ros kuning yang hanya dicantumkan dengan riben merah tanpa dihiasi dengan renda-renda atau pembalut. Cukup sekadar riben untuk ikat jambang bunga tersebut. Cara Johan sebab katanya, ikatan itu umpama mencantum dan mengikat cinta mereka agar tersimpul rapi.
Kad yang terselit dibaca. “Ros kuning dengan garisan merah pada kelopak bermaksud sahabat yang jatuh cinta.”
Telefon bimbit sekali lagi mengeluarkan bunyi beep sebagai tanda pesanan ringkas masuk.
Ros kuning dengan garisan merah sebab sahabat ni semakin hari semakin mencintai sahabat karibnya. Harap sahabat karibnya itu pun begitu.
P/S harap rajuk si sahabat karib itu semakin surut. Abang cinta sayang.
Dari : Suami yang mencintai dan mohon untuk terus dicintai.
Kayla tersenyum kecil. Dalam kesibukan lelaki itu, sempat lagi bermain kata dengannya.
Semoga berjaya dan perbicaraan hari ni dipermudahkan.
Balas Kayla ringkas. Dia tahu suaminya sibuk dengan perbicaraan hari ni, Johan maklumkan padanya bahawa lelaki itu sibuk dengan kes perbicaraan. Kayla pula tidak bekerja kerana Yana tidak benarkan dia bekerja kerana kesihatan wanita itu. Sebenarnya hatinya mula cair dengan keikhlasan dan usaha Johan meraih maafnya sejak dua minggu lepas tapi nak terima Johan semula masih lagi ragu-ragu.
Terima kasih sayang. Selamat menjamu selera.


“Abang masak?” tanya Kayla yang masih lagi mamai. Baru saja tersedar dari tidur. Kesan ubat selalu saja buat dia mengantuk. Sampai tidak sedar Johan balik tengah hari.
Johan berpaling. “Sayang dah bangun?”
“Abang lapar ke? Biar saya masak.” tanya Kayla yang mendekati suaminya untuk mengambil alih kerja Johan.
“Eh! Tak payah. Tak payah. Sayang masuk je. Biar abang yang masak.”
Kayla berhenti bergerak. Suaminya dipandang pelik. Telapak tangan hinggap atas dahi Johan. “Abang demam ke? Abang sedar tak tengah buat apa sekarang ni?” Johan yang malas masuk dapur ni sedang masak? ‘Akukah atau Johan yang tengah mamai sekarang ni?’ Fikir Kayla.
Tergelak kuat Johan dengan soalan isterinya. “Abang sedarlah sayang. Tengah masak untuk makan tengah hari kita. Sayang tak makan lagi kan? Tengah hari ni biar abang masak. Sayang rehat saja.” katanya sambil menarik tangan Kayla ke ruang tamu.
Sayu hati Johan melihat isterinya tertidur lemah atas sofa ketika balik tadi. Ingat balik sebab nak buat kejutan untuk Kayla. Tapi tak sampai hati nak kejutkan isterinya dari tidur. Lebih-lebih lagi bila nampak wajah pucat Kayla.
Lepas menjamu selera, Kayla ajak suaminya untuk solat zohor bersama-sama. Rindu rasanya nak berjemaah bersama Johan. Saat tangan bersalaman dengan Johan, Dahinya dihadiahkan kucupan dari Johan. Terimbau saat sesi pembatalan air wudhuk semasa nikah dahulu.
“Kayla minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki atas kesalahan Kayla pada abang. Demi Allah, Kayla tak pernah guna-gunakan abang. Kayla cintakan abang seikhlas hati Kayla. Tapi andai keraguan masih ada dalam diri abang. Lepaskanlah Kayla…”
Tidak sempat Kayla menghabiskan ayatnya. Johan terus peluk isterinya seerat mungkin. “Ya Allah. Sungguh sayanglah isteri terbaik untuk abang. Abang yang rosakkan segalanya, abang yang bodoh kerana ragu cinta isteri abang. Hati abang turut sakit kerana lukakan hati sayang. Izinkan abang untuk terus bersama sayang. Abang cintakan sayang. Maafkan abang, maafkan abang sayang…”
“Abang mohon sayang maafkan abang. Sayang jangan minta lepas dari abang. Abang tak sanggup… Abang tak nak… Ya Allah ampunkan diri ni, dia isteri terbaik untukku. Izinkan kami terus bersama.” pohon Johan lagi. Dia turut menangisi silapnya. Johan tidak pernah putus asa untuk berdoa agar Kayla maafkan dirinya dan terus bersama dengannya.
“Kayla maafkan abang… Kayla nak bersama dengan abang…  Kayla cintakan abang. Abang jangan nangis. Nanti jadi Sherk. Buruk!” luah Kayla dengan air mata yang masih lagi mengalir. terharu dengan luahan suaminya.
Johan tergelak kecil. “Sayang pun! Jangan nangis lagi nanti jadi Fiona.”
Tergelak Kayla sambil mengangguk dan kesat sisa air matanya. Rindu pula pada gelaran itu. Ketika mereka berkawan dulu, jika Johan menangis secara automatik akan bertukar Shrek, manakala Kayla sebagai Puteri Fiona yang hijau.
“Sayang…” panggil Johan.
“Ya?”
“Jom bercinta lagi? Seperti dulu. keluar lepak Coffee bean, jalan-jalan…”
Kayla senyum menangguk. “Dan ros.” pintanya
“Dan ros…” ajuk Johan kerana tahu isterinya minat bunga ros.
“Dan abang tolong masak di dapur.”
“Sayang, yang tu macam perli je..” berubah air muka Johan. Tahulah dia malas dan tidak pandai masak seperti Kayla. Apa yang dia masak tadi main campak saja masuk ikut tutorial dari Youtube. Nasib saja rasanya tidaklah teruk sangat.
Kayla tergelak kecil. Lengan suaminya dipatut manja. “Kayla ajarlah abang. Nak?”
Hidung Kayla dicuit. “Iyalah. Untuk isteri abang ni, cakap saja nak makan apa. Abang pasti boleh masakkan untuk sayang.”
“Iyalah tu… ayat lagi manis dari masakan dia tadi.”
“Eh! Yang pandai berkata-kata nilah yang buat sayang cair dengan ayat abang.”
Kayla tergelak kecil.  Dia akui, kata-kata manis dari encik peguam nilah yang buat hatinya cair dan terima pinangan Johan. “Jangan auta saja eh. Peguam kena tahu semua tu kena berdasarkan fakta juga.” usik Kayla.
Johan sekadar tersenyum bahagia dengan usikan isterinya. Syukur alhamdulillah Kayla sudi maafkannya. Ditatap wajah itu dengan penuh kasih sayang. Wajah yang pucat tapi jauh lebih berseri dari sebelumnya. Sebenarnya hati inign tahu penyakit isterinya tapi Johan tidak mahu rosakkan mood baik Kayla. “Abang sayangkan Kayla.” ucapnya perlahan.
“Kayla pun. Abanglah cinta hati Kayla.”


“Sayang…” panggil Johan pada isterinya yang duduk dibirai katil. Bilik tidur mereka hanya diterangi dengan lampu dari meja sisi. Johan duduk sebelah isterinya yang memegang kertas.
“Kadang Kayla harap biarlah abang masih benci Kayla, sekurangnya bila Kayla mati… abang takkan bersedih…”
“Kenapa ni sayang?”
Kayla tidak menjawab. Sebaliknya, air mata masih lagi terus mengalir tanpa dipinta. Dia melepaskan saja helaian kertas apabila Johan ambil dari tangannya. Telinga masih lagi jelas mendengar Johan melafazkan istighfar dengan nada kecil.
Bahu Kayla dipusing menghadapnya. Rupa-rupanya isterinya sedang bertarung dengan kanser. Ya Allah! Terlalu lama dia membiarkan isterinya menderita sendiri. Air mata Kayla dikesat lembut. Sekujur tubuh itu dirangkul erat.
“Sayang nak tahu… setiap orang ada kawan baik, soulmate. kekasih, keluarga dan pasangannya. Tapi abang bersyukur sangat sebab semua tu ada hanya pada seseorang. Dialah rakan, soulmate abang, adik angkat abang, kekasih dunia dan akhirat abang. Dia isteri abang bernama Kayla. Pemaisuri hati abang… Abang cintakan sayang.”
“Sayang kena kuat. Kuat untuk abang sebab abang hanya ada sayang… Abang doakan yang terbaik untuk sayang… Abang akan sentiasa bersama sayang..” Sejak ibu bapanya meninggal tiga tahun lepas, dia hanya ada Kayla saja begitu juga isterinya yang yatim dari kecil.
Semakin kuat esakan Kayla mendengar luahan suaminya. Ya Allah izinkan aku untuk terus bersama dengan lelaki ni untuk satu tempoh lagi. Pelukan dileraikan. “Janji abang akan bersama dengan Kayla?”
Johan tersenyum kecil. Jemari mengesat sisa air mata isterinya. “Dengan izin Allah, abang berjanji akan terus bersama dengan sayang, Kekasih dunia dan akhirat abang…”
Kayla tersenyum nipis. Kata-kata Johan memberi semangat padanya untuk terus berjuang demi suaminya. Ya Allah. Izinkan kami terus bersama dunia dan akhirat. Sungguh aku sangat mencintainya. Tabahkan dan dekatkanlah hati kami kepadamu dalam mengharungi ujian mu ini.


Tamat.
P/S : Happy Malaysia Day to All Malaysian!!
Rajin faz buat cerpen sekarang ni. Minggu lepas cerpen  Tangkap Cintanya . Sesiapa belum baca boleh tekan link pada gambar bawah ni. Next cerpen faz baru tulis time kelas manuskrip semalam sebab bosan punya pasal. nanti dah faz taip & update dalam blog kay. teaser macam biasa dalam group fb. bye!


Awak! si comel yang baru habis baca. jangan lupa komen n share ya!

1 comment:

hai comel!
Terima kasih baca & sudi komen.

Nurfazila Suhaide =)